Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, Disember 13, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 24

“Hani!”

Wanita itu menghampirinya. Hani yang baru melangkah keluar dari kelas terkejut melihat wanita itu.

Kak Su? Aku bermimpi ke? Tak pernah-pernah Kak Su datang tengok aku kat kolej.

“Dah habis kelas ke? Jom kita pergi makan.”

“Kak Su belanja?”

“Tak ada hal.”

Hani dan Suraya beriringan ke kafeteria berhampiran.

“Apa hal Kak Su datang kolej Hani ni? Tak pernah-pernah pula. Abang Man mana?” Hani mencari kelibat abang iparnya.

“Kak Su datang dengan kawanlah.”

“Siapa?”

“Tu,” Suraya menunjuk ke arah seorang wanita yang sedang duduk di sebuah meja di kafeteria tersebut.

Hani melihat ke arah yang dikatakan Suraya. Hani mengamati fizikal wanita itu dari belakang. Hatinya tertanya-tanya siapakah wanita itu. Akhirnya persoalan di mindanya terjawab juga sebaik-baik saja dia dan Suraya tiba di meja tempat wanita itu berada.

Kak Dila, isteri Arri?

“Dila…”

Wanita itu berpaling. Dia tersenyum melihat Hani dan Suraya.

“Hani pernah jumpa Kak Dila kan masa kenduri kahwin Kak Su hari tu?” tanya Suraya.

Hani menggangguk. Dia memaksa diri untuk senyum. Digagahi dirinya untuk bersalaman dengan Adilla.

“Hani, Kak Su nak pergi tandaslah. Tandas kat mana?”

“Kat sana. Jomlah Hani temankan,” Hani tidak mahu tinggal berdua-duaan bersama Adilla.

“Eh, tak apalah. Kak Su pergi sendiri. Hani boraklah dulu dengan Kak Dila,” Suraya menghilang ke arah yang ditunjuk oleh Hani tadi.

Hani memandang Adilla. Dia tidak tahu mahu berbual apa dengan Adilla. Pandangannya dialih ke perut wanita itu. Kandungannya kelihatan semakin sarat. Tiba-tiba dia teringatkan kata-kata Farra tempoh hari.

“Hani, kalau ya pun kau tak kesian kat isteri dia tapi sekurang-kurangnya kau kesiankanlah anak yang dalam kandungan isteri dia tu. Takkan kau sanggup tengok budak tu lahir tak berayah?”

Hani mula dihantui rasa bersalah.

Tadi Kak Su cakap dia datang sini sebab ada urusan kerja. Tapi Kak Dila nak ikut sebab nak jumpa Arri sekali. Mungkinkah Kak Dila tahu tentang hubungan aku dengan Arri? Dan adakah kedatangan Kak Dila ke situ untuk memberinya amaran agar menjauhkan diri daripada Arri?

“Baru habis kelas ya?” Adilla memulakan perbualan. Patut ke aku tanya tentang perkara itu? Tapi kalau aku tak tanya, hati aku takkan tenang.

Hani hanya menggangguk. Suasana hening seketika. Hani sedar Adilla sedang memerhatikannya.

Mana Kak Su ni? Cepatlah Kak Su.

“Arri ada datang jumpa Hani?”

Hani tersentak. Dia menentang wajah Adilla. Sah wanita itu mengetahui hubungannya dengan Arri! Takkan Arri dah bagi tahu Adilla tentang hubungan mereka?

“Macam mana hubungan Hani dengan Arri?”

Sekali lagi Hani tersentak. Apa aku nak jawab ni?

“Saya tahu hubungan Arri dengan Hani.”

“Arri bagi tahu Kak Dila?”

“Tak. Tapi saya dapat melihat dari pandangan mata Arri terhadap Hani. Masa kenduri kahwin Suraya dulu saya dah dapat agak. Dan saya tahu dia sengaja datang ke KL untuk berjumpa dengan Hani,” ujar Adilla.

Dia cuba untuk tidak menaruh curiga terhadap suaminya namun perubahan sikap Arri sejak berjumpa dengan Hani membuatkan fikirannya terganggu.

“Tapi Arri kata dia ada urusan kerja kat KL,” terang Hani. Bukankah Arri sendiri yang cakap yang dia ada urusan kat KL? Takkan dia nak tipu?

“Itu semua hanya alasan. Sebab utama dia ke sini sebab nak jumpa Hani. Hani, saya tahu saya salah kerana merampas Arri daripada Hani. Tapi Hani, saya merayu. Tolong lepaskan Arri. Hani masih muda. Tentu banyak lelaki yang nak kat Hani. Tapi saya cuma ada Arri. Saya tak nak kehilangan dia. Saya mahu bersama Arri sampai ke akhir hayat. Saya sayangkan dia. Saya nak ada anak dengannya. Tolonglah, Hani. Tolonglah,” rayu Adilla.

Hani diam. Dia tidak tahu mahu berkata apa. Hatinya tersentuh melihat kesungguhan Adilla. Apakah benar dia dipertemukan semula dengan Arri untuk menyatukan Arri dengan Adilla?

“Baiklah, saya akan cuba nasihatkan Arri agar menerima Kak Dila.”

“Terima kasih, Hani. Terima kasih,” Adilla menggenggam tangan Hani.

“Eh, Dila, kenapa ni?” Suraya hairan melihat Adilla menangis sambil memegang tangan Hani. Adilla segera menyeka air matanya.

“Tak ada apalah, Kak Su. Kak Dila cuma sedih tengok cerita tu,” Hani menunjuk ke arah rancangan drama yang disiarkan di televisyen di situ. Suraya memandang ke televisyen.

“Bukan ke cerita ni cerita komedi?” Suraya bertambah hairan. Takkan tengok cerita komedi pun menangis?

“Bukan cerita nilah, Kak Su. Tadi orang tu dah tukar. Dia kesian agaknya tengok Kak Dila menangis. Itu yang dia tukar tu,” bohong Hani.

“Ala…kau ni Dila, mudah sangat mengalirkan air mata. Itu kan drama aja. Bukannya betul,” ujar Suraya. “Dahlah. Malu orang tengok. Kau kata tadi nak jumpa Arri. Kau dah bagi tahu dia ke kau ada kat sini?”

Hani dan Adilla saling berpandangan tatkala nama itu disebut oleh Suraya.

“Dah.”

“Hani tengok Kak Dila ni. Dah sarat macam ni pun sanggup datang dari jauh semata-mata nak tengok suami dia. Takut suami dia tak terjaga makan minum kat sini. Betapa prihatinnya dia. Kalau macam nilah Dila, aku jamin si Arri tu takkan cari yang lain.”

Hani terkedu mendengar kata-kata Suraya. Ternyata wanita di depannya itu benar-benar menyayangi Arri. Mungkin dia harus menerima hakikat bahawa Arri memang bukan tercipta untuknya.

Tapi Arri pernah melukakan hati aku. Takkan aku nak biarkan dia macam tu aja? Jangan mimpi! Aku akan pastikan rumahtangga kau porak peranda. Biar kau rasa apa yang aku rasa dulu. Betapa sakitnya rasa bila dilukai.


***


“Tadi isteri abang jumpa Hani,” ujar Hani ketika dia dan Arri makan malam bersama di sebuah restoran.

“Adilla jumpa Hani? Apa dia cakap?”

“Dia marah Hani. Dia kata Hani rampas abang daripada dia. Dia…” Hani tidak sanggup untuk meneruskan kata-katanya. Dia menekup mukanya dengan tangan. Dia mula teresak-esak.

“Hani, kenapa Hani menangis? Apa yang Adilla cakap kat Hani?” Arri bimbang melihat Hani menangis. “Hani sayang…”

“Dia… Dia…,” Hani tersedu sedan menahan tangisnya. “Dia cakap Hani perempuan tak tahu malu, perempuan tak sedar diri, perampas suami orang…”

Berderau darah Arri mendengar kata-kata hinaan itu dilemparkan kepada gadis kesayangannya. Kurang ajar! Perempuan tak tahu diuntung!

“Adilla…!!!”

Arri menendang pintu kamar itu sekuat hati. Adilla yang sedang menyisih rambut di hadapan cermin terkejut dengan tindakan suaminya itu.

“Kenapa, bang?”

“Kau tanya aku kenapa? Apa yang kau dah buat pada Hani?” Arri menarik rambut Adilla dari belakang.

“Aduh, sakit bang,” Adilla mengadu sakit. “Dila tak buat apa-apa. Sumpah.”

“Bohong! Kenapa kau sakitkan hati dia? Kau tak berhak nak hina dia tau! Kau tu perempuan yang tak tahu malu! Tak sedar diri!” Arri menolak Adilla ke katil. Adilla jatuh telentang.

“Abang, sampai hati abang buat Dila macam ni. Dila kan mengandung ni.”

“Kau ingat dengan perut kau ni, aku nak kesiankan kau? Sebab kaulah, hubungan aku dengan Hani putus tau! Kenapa kau tak cari aja jantan yang rosakkan kau tu? Kenapa kau nak rosakkan hidup aku? Kenapa?” Arri seakan hilang pertimbangan. Dia seperti dirasuk. Leher Adilla dicengkam dan dicekik semahu-mahunya.

Hani terjaga daripada tidurnya. Tubuhnya dibasahi peluh.

“Kenapa Hani?” Farra terkejut melihat Hani yang terjaga daripada lena secara mengejut.

“Aku mimpi Arri bunuh isteri dia.”

“Astafirullah,” Farra melabuhkan punggung di sisi Hani.

“Aku takut, Far.”

“Dahlah. Itu semua cuma mimpi,” Farra memeluk bahu Hani agar ketakutan yang dirasai oleh temannya itu reda.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

wat suspen jer..
ish...