Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Disember 10, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 21

“Dim… Waduh, smart-smart begini mahu ke mana elo?” tegur Erwin apabila melihat Dimas sibuk menghias diri ketika dia menjenguk ke bilik.

“Mahu ketemu Hani,” ujar Dimas sambil membetul-betulkan rambutnya di depan cermin.

“Ek eleh ingatkan apa. Macam tak pernah jumpa Hani aja,” Erwin berbaring di katil sambil memperhatikan Dimas.

“Iya tapi kali ini lain. Aku sama Hani kan sudah pacaran secara rasmi. Jadi harus diubah sedikit. Win, gimana penampilanku?” Dimas bergaya persis seorang model di hadapan Erwin.

“Kau nak pakai macam ni ke pergi dating?” Farah memandang Hani dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Seluar jeans dengan T-shirt lengan pendek. Gambar kartun pula tu. Tak sesuai!

“Kenapa? Tak elok ke?” Hani membelek dirinya.

“Memanglah tak elok. Ada ke pergi dating pakai T-shirt dengan jeans?”

Orang lain beria-ria berhias diri untuk janji temu. Malam sebelum janji temu pun dah sibuk pilih baju dan kasut yang hendak dipakai. Lebih-lebih lagi janji temu pertama!

“Apa salahnya aku pakai macam ni? Masa dengan Arri dulu pun aku macam ni juga.”

Hani terdiam.

Arri? Kenapa aku sebut nama dia?

“Hani, itu dulu. Masa kau mentah lagi. Sekarang boyfriend kau Dimas. Bukan Arri. Tahu?”

“Tapi aku kan dah biasa macam ni. Lagipun bukannya dia tak kenal aku.”

“Memanglah dia kenal kau. Kalau dia tak kenal kau, macam mana dia boleh sangkut kat kau? Tapi Cik Yasmin Hani, itu dulu. Masa kawan kawan. Sekarang kan kau dah couple dengan dia. Kita ni perempuan. Kena jaga penampilan. Barulah lelaki tak lari,” nasihat Farra.

Macam ada pengalaman aja si Farra ni. Tapi betul juga. Agaknya sebab itulah Arri sanggup kahwin dengan perempuan lain. Tapi dalam almari aku tu banyak T-shirt dengan jeans aja. Itu pun pakai berulang-ulang. Kalau aku beli baju baru pun aku tetap beli T-shirt juga.

“Tapi aku tak ada baju lain.”

“Aku kan ada.”

Farah menayang baju-bajunya yang tergantung di dalam almari bajunya.


***


“Sorry Dim, aku lambat.”

Dimas berpaling ke arah suara itu. Dia tidak jadi memarahi Hani apabila melihat gadis itu. Dia terpegun. Gadis itu kelihatan berlainan dengan blaus warna biru langit dan skirt labuh berwarna hitam yang membaluti tubuhnya itu. Rambutnya yang selalu diikat itu dibiarkan lepas. Bibirnya juga lebih merah disapu gincu. Persis Cinta yang mahu bertemu Rangga dalam filem ’Ada Apa Dengan Cinta’. Cantik dan feminin!

Hani jadi malu dan tidak selesa ditenung Dimas sebegitu.

“Dim!”

Dimas tersentak. Tidak sedar dia terlalu asyik memandang gadis itu.

“Sorry.”

“Tak kena ke? Aku memang tak biasa pakai macam ni. Ini semua idea Farra,” ujar Hani. Betul ke ni aku? Rasa lain pula. Kenapalah aku ikut cakap Farra?

“Kamu cantik sekali,” puji Dimas.

“Ah, kau saja nak perli aku,” Hani membelek dirinya. “Aku tukar baju lainlah.”

“Eh jangan!” Dimas menarik tangan Hani. “Benar. Kamu cantik sekali. Kalau kamu begini tiap hari kan bagus.”

Ini tidak. Tiap-tiap hari T-shirt dan jeans. Tak ada gaya seorang perempuan langsung!

“Terima kasih,” Hani tersipu mendengar pujian Dimas. Dia melihat Dimas. Terasa ada yang lain pada lelaki itu.

“Kenapa?” tanya Dimas.

“Rambut kau?”

“Kamu suka?” Dimas memegang rambutnya. Rambutnya yang dulu panjang menutupi telinga kini dipotong pendek dan dinaikkan ke atas. Terpacak seperti buah durian.

“Mestilah aku suka. Nampak lebih kemas dan handsome,” puji Hani. Macam nilah baru nampak kemas. Baru sesuai dengan usia. Hensem pula bila dia rambut pendek. Hani tersenyum dalam hati.

“Oh ya? Makasih. Yuk?”

“Kita nak ke mana ni, Dim?” Hani mengambil tempat di sebelah Dimas sambil memerhatikan kenderaan yang lalu lalang.

“Kamu mahu ke mana?” Dimas menyoal Hani kembali.

“Bukan ke kau yang ajak aku keluar? Kaulah buat keputusan.”

“Iya. Tapi kamu juga bisa memberi idea.”

Suasana hening seketika. Masing-masing membisu. Berfikir ke mana yang hendak dituju. Tengok wayang ke, makan ke atau jalan-jalan kat tasik?

“Kita tengok wayang mahu?” cadang Dimas.

“Cerita apa?”

Dimas menjungkit bahu.

“Kita lihat aja. Yuk!”

Pasangan itu beriringan masuk ke sebuah pusat membeli-belah. Masing-masing membisu tanpa sepatah kata. Ketika menaiki eskelator, Dimas menoleh kepada Hani. Berkira-kira sama ada hendak memegang tangan Hani ataupun tidak.

Mahu pegang atau tidak? Kalau dipegang nanti dibilangnya aku ini kurang sopan. Tapi kalau tidak pegang, tidak seperti pasangan kekasih.

Hani yang berasa dirinya diperhati menoleh kepada Dimas lalu menguntum senyuman. Dimas turut tersenyum.


***


“Aduh, bosannya cerita tadi!” rungut Dimas sebaik-baik saja mereka melangkah keluar dari panggung wayang tersebut.

“Itulah siapa yang nak tengok wayang tadi?” ujar Hani separuh sindir.

“Tapi kamu juga tidak membantah kan?”

“Manalah aku tahu cerita tu tak best. Kalau aku tahu, mesti aku tak ikut kau.”

“Kalau aku tahu cerita itu tak best, aku tak bawa kamu tengok.”

“Jadi kau salahkan aku?”

“Aku tak cakap macam tu.”

“Tapi kau bermaksud begitu bukan?”

“Jadi kamu mahu apa?”

“Aku mahu pulang!” Hani meninggalkan Dimas.

“Iya, aku juga mahu pulang!”

Dimas dan Hani berjalan ke arah yang berasingan. Rasa marah mula menguasai diri. Masing-masing tidak mahu mengaku salah.

Seketika kemudian, langkah Dimas terhenti.

Apa ni? Takkan perkara kecik macam ni pun aku nak gaduh dengan Hani? Dah lama aku menunggu saat macam ni. Sudah diberi peluang, takkan aku nak sia-siakan?

Dimas berpatah balik mendapatkan Hani.

Hani cuba menenangkan dirinya. Kenapa aku marah sangat ni? Bukan salah dia.

Seperti Dimas, Hani juga berpatah ke tempat tadi.

“Han, hari ini kan hari pertama kita keluar sebagai kekasih. Aku fikir tidak seharusnya kita bertengkar kerana hal-hal yang remeh begini. Sebetulnya, di mana-mana aja pun aku tidak kisah asalkan dapat bersama kamu,“ ujar Dimas.

“Aku pun rasa macam tu. Aku minta maaf.”

“Aku juga mahu meminta maaf sama kamu. Kita makan yuk?”

“Mana?”

“Ikut aja!”

Tanpa berfikir lagi Dimas segera menyambar tangan Hani. Hani agak terkejut dengan tindakan Dimas.

“Kalau begini baru bisa dibilang kekasih,” Dimas berbisik kepada Hani.

Hani cuma tersenyum mendengar kata-kata Dimas lalu membiarkan saja Dimas memegang tangannya.


***


Hani mengesat rambutnya yang basah sambil memerhati ke luar jendela. Hujan masih deras membasahi bumi. Seketika kemudian dia mengalihkan pandangannya ke katil. Sehelai jaket biru kepunyaan Dimas terletak rapi di atas katil itu.

“Aduh!” Hani mengerang kesakitan apabila kakinya tersepah sesuatu.

“Kenapa Han?” Dimas mendapatkan Hani. “Mari aku lihat,” Dimas memapah Hani duduk di sebuah bangku. “Itulah lain kali bila berjalan mata harus ke depan. Bukan ke aku. Aku tahu kamu dah tertarik sama aku tapi jangan sampai hilang tumpuan.” Dalam pada itu Dimas masih sempat mengusik.

Dia perasan rupanya. Malunya aku.

Memang Hani sibuk melihat Dimas masa berjalan tadi. Sampai tak sedar batu di hadapannya.

Hani diam sambil memerhatikan Dimas memeriksa kakinya. Tatkala itu dia menyedari akan keikhlasan Dimas terhadap dirinya. Dia tahu dia tidak silap apabila membuat keputusan untuk bersama Dimas.

Mungkin bila sampai waktunya Dimas harus kembali ke negara asalnya namun sebelum perkara itu terjadi, dia ingin menikmati kebahagiaan yang dia sendiri tidak tahu penghujungnya. Dalam hati dia tetap berharap agar kebahagiaan itu berpanjangan.

Malam itu bertambah dingin apabila angin kuat menampar tubuh mereka. Awan mendung mula berkumpul menandakan hujan akan turun.

Tak semena-mena Hani terbersin. Mungkin kesejukan. Melihatkan itu Dimas menanggalkan jaket di badannya lalu menyarungkannya ke tubuh Hani. Hani sedikit terkejut.

“Terima kasih. Kau tak sejuk ke?”

“Tak apa. Hari nak hujan ni. Aku hantar kamu pulang. Kamu bisa jalan kan? Atau kamu mahu aku dukung kamu?” usik Dimas.

“Aku boleh jalan.”

Hani tersenyum mengingati pertemuannya dengan Dimas siang tadi.

Macam manalah mamat tu sekarang? Entah dah sampai rumah ke belum?

Hani mencapai telefon bimbitnya lalu mendail nombor telefon bimbit Dimas. Lama dia menanti namun tiada yang menjawab.

“Hujan semakin lebat ni,“ Sukry menjenguk ke tingkap. “Dimas ke mana?”

“Dia keluar sama Hani,” ujar Erwin.

Tatkala itu pintu rumah mereka dikuak. Dimas muncul di muka pintu. Habis satu badannya basah kuyup. Dia menggigil kesejukan.

“Dim?”

Erwin, Sukry, Armand dan Andin terkejut melihat Dimas. Tanpa disuruh, Erwin mengambil tuala di dalam manakala Sukry mengambil minuman panas di dapur lalu memberikan tuala dan minuman itu kepada Dimas.

“Terima kasih,” Dimas menyambut cawan dan tuala tersebut. Tubuhnya masih mengigil.


***


“Kau macam mana?” Suara lembut di hujung talian menyapa gegendang telinganya.

“Aku baru selesai mandi,” Dimas mengesat rambutnya.

“Ok. So aku tidur dulu ya,” ujar Hani.

“Kok udah mahu tidur?” Dimas sedikit kecewa.

“Yalah. Aku penat. Satu hari berjalan,” jawab Hani. Memang penat tapi aku gembira.

“Kalau macam tu, udahlah. Tidur aja. Mimpikan aku ya. Bye!”

Talian itu dimatikan. Dimas tersenyum mengingati janji temunya dengan Hani pada hari itu.

“Dim, kau hantar aku sampai sini pun dah cukup,” ujar Hani ketika Dimas menghantarnya pulang ke asrama.

“Ya, kamu masuk dulu.”

Hatinya tidak senang jika tidak melihat kekasihnya itu masuk ke dalam asrama dengan selamat. Kalau boleh, dia mahu menghantar Hani betul-betul di hadapan pintu biliknya.

“Han, takkan kamu masuk macam itu aja?”

“Habis tu?” Hani kehairanan.

“Tak ada ciuman selamat malam?”

“Gatal! Aku masuk dulu Kau baliklah cepat. Hari nak hujan ni. Dah sampai rumah nanti, mesej aku tahu,” pesan Hani.

“Ok.”

Ingatkan mahu ucap sayang tadi.

Pada waktu yang sama, Hani turut tersenyum mengingati kenangan itu. Mudah-mudahan selepas malam ini, malamnya akan dihiasi mimpi-mimpi yang indah.

Esoknya Dimas bangun lambat hingga terpaksa dikejutkan oleh Erwin.

“Dim, bangunlah! Tak mahu kerja ke?” Erwin membebel sambil membelek-belek dirinya di cermin. Memastikan dirinya kemas.

“Sebentar lagi,” ujar Dimas antara sedar dan tidak.

“Sekarang sudah jam lapan, ayuh bangkit!”

Dimas masih berbaring di katil. Tubuhnya terasa malas untuk bangkit. Kepalanya juga terasa berat.

Erwin geram melihat Dimas lalu meninggikan suaranya dengan harapan Dimas akan bangkit dari tidur.

“Win, gue fikir gue enggak bisa kerja. Kepala gue rasa berat,” adu Dimas.

Erwin meletakkan telapak tangannya ke dahi sahabatnya itu. Dahi Dimas terasa panas.
“Elo demam ya, Dim? Aduh, gimana ya?”

Erwin berlalu ke ruang tamu lalu mencapai telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon bimbit Armand.


***


“Arm, Dim dengan Erwin mana?” soal Hani apabila kelibat mereka berdua masih belum kelihatan di kafe tersebut.

“Tak tahu,” Armand terkejut apabila telefon bimbitnya berbunyi. “Ni Erwin telefon,” ujar Armand lalu menjawab panggilan tersebut. “Win, di mana kalian? Tamu dah ramai ni. Apa? Ya, ya. Ok.”

“Kenapa Arm? Dia orang datang tak?” soal Hani.

“Kata si Erwin mereka tidak bisa datang. Dim tidak sihat,” Armand memaklumkan berita itu kepada yang lain.

“Dim tak sihat? Sakit apa?” Hani mula dilanda kebimbangan.

“Tak serius sangat. Demam saja.”

“Macam mana boleh demam? Semalam kan dia baru keluar dengan Hani?” celah Farra.

“Aku rasa sebab itulah agaknya Dim demam.”

Hani dan Farra tidak dapat menangkap maksud Andin. Andin tersengih melihat muka bingung mereka.

“Mungkin dia terlalu gembira dapat keluar dengan Hani sebagai pacaran. Sebab itulah dia demam,” seloroh Andin.

“Andin...” Hani memuncungkan mulutnya. Geram dirinya dipermainkan. “Dah pergi klinik ke belum?”

“Erwin dah bagi ubat,” ujar Armand.

“Jadi, kau orang tak performlah malam ni?” soal Farra.

“Harus! Walaupun Dimas tidak ada, kita tetap harus manggung,” jawab Sukry. “Penontonnya sudah ramai.”

“Siapa yang nak nyanyi?” Hani memandang Farra penuh tanda tanya.

“Siapa lagi? Kamulah!” cadang Sukry.

Hani terkejut.

“Eh, kenapa pula aku?”

“Ala.. Han, kamu kan selalu lihat kita jamming. Kamu pasti tahu lagu-lagu kita kan?” pujuk Sukry.

“Iya tapi aku tak boleh nyanyi,” Hani memberi alasan. Gila ke dia orang ni?

“Jangan nak tipu. Yang kau nyanyi hari tu apa?” sokong Farra.

“Bila masa? Mana ada!”

Farra ni memang nak kena dengan aku. Pandai-pandai aja buat cerita.

“Han please…” Andin pula memujuk. “Kita sudah tidak ada orang lain.”

“Far… Farra pun boleh nyanyi,” Hani menolak Farra ke depan.

“Hish…apa pula aku? Kalau aku nyanyi nanti tak ada orang nak berganjak. Matilah aku!” seloroh Farra. “Ala… Han, kau tolonglah dia orang. Kasihan dia orang. Siapa lagi nak tolong kawan?”

“Tapi aku…” Hani serba salah.

“Tak ada tapi tapi lagi! Arm!” Farra memberi isyarat bahawa Hani setuju untuk menggantikan tempat Dimas.

“Ok!”

Armand, Sukry, dan Andin melangkah ke pentas. Hani masih di situ. Tidak berganjak.
Farra menolak Hani ke pentas. Hani kaget apabila lampu disuluh ke arahnya. Mahu tidak mahu Hani terpaksa menggagahkan diri apabila melihat muka Sukry, Armand dan Andin penuh berharap. Hani menelan air liur melihat betapa ramainya pengunjung yang memandang ke arahnya di bawah sinaran cahaya lampu.

Hatinya semakin berdebar-debar apabila Sukry memberi isyarat yang persembahan itu akan dimulakan. Hani cuba melawan ketakutannya dan cuba bernyanyi sebaik yang mungkin. Nasib baik lampu di kalangan penonton dimatikan. Kalau tak pasti dia kecut perut.

Tanpa sedar, seorang pengunjung terpikat mendengar nyanyian Hani.


***


“Ah, letihnya!” Armand merebahkan diri di sebelah Dimas yang sedang menonton program kegemarannya di kaca televisyen.

Andin turut menyertai mereka. Sukry pula menghilang ke dalam.

“Elo beli apa, Din?” soal Dimas apabila melihat dua bungkusan plastik di tangan Andin.

“Ini ada sedikit makanan tapi bukan gue yang beli.”

“Bukan elo? Habis siapa?” Dimas berkerut kehairanan. “Elo, Arm?”

“Ah, enggaklah!”

“Kalau begitu, elo Suk?”

Sukry menggeleng.

“Lalu siapa? Kok ama gue juga mahu berahsia?”

“Kalau elo mahu tahu, semua ini Hani yang beli,” ujar Andin. “Untuk pacarnya yang tersayang…” ujar Andin lalu memasukkan makanan-makanan tersebut ke dalam peti ais.

“Hani yang beli? Wah, sayang banget dia sama gue!” seloroh Erwin seolah-olah kata-kata itu ditujukan kepadanya.

“Halo... siapa pacarnya Hani di sini?” celah Dimas.

“Elo! Satu kolej udah tahu kok,” ujar Erwin.

“Baik juga si Hani itu ya,” puji Armand. “Untung siapa dapatnya.”

“Ya, tapi gue udah punya pacar,” ujar Sukry.

“Jangan berani-berani dekati Hani di belakang gue,” Dimas pantas memberi amaran.

“Itu gue boleh jamin tapi gimana kalau Hani yang mahu dekat ama gue? Takkan gue mahu lari?” Sukry masih mengusik.

“Suk… Jangan bikin gue angin.”

Sukry cuma tersengih.

“Orang sakit enggak bisa marah-marah. Nanti sakitnya melarat,” celah Armand.
Dimas diam seketika.

“Jadi, siapa yang mahu masak? Gue lapar.” Dimas memegang perutnya. “Dari tadi enggak makan.”

“Win, gue punya majalah siang tadi letak di mana ya?” Armand berpura-pura tidak mendengar pertanyaan Dimas itu.

“Gue rasa ada di dalam. Yuk bantuin gue cari,” Erwin juga berpura-pura tidak mendengar. “Din, elo mahu tolong sekali?”

“Ya, gue ikut,” sambut Andin dan mengajak Sukry sekali. “Yuk, Suk.”

Mereka berempat menghilang ke dalam meninggalkan Dimas sendirian di ruang tamu.

“Wah, tega banget kalian memperlakukan gue seperti ini! Gue kan sakit ni!” Dimas menjerit memanggil kawan-kawannya.

“Win!!”

“Arm!!”

“Din!”

“Suk!”

Erwin, Sukry, Armand dan Andin tersengih sesama sendiri.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

bestnyer citer nih....sambung r cepat lg yep.... hehe...wat pnjg2 pon xper.... ~moud~

Ilmar Imia berkata...

Trima kasih. Crita ni mmg panjang. Takut korang pulak yg tak larat nk baca..hehe