Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Ahad, Disember 07, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 14

Keadaan di PWTC itu penuh sesak dengan jumlah manusia yang datang bagi menyaksikan aktiviti-aktiviti yang diadakan sempena pesta buku kebangsaan Malaysia. Antara objektif pesta buku ini adalah bagi memupuk tabiat suka membaca di kalangan rakyat Malaysia selain membuka peluang kepada syarikat-syarikat penerbitan yang ada di Malaysia untuk bertukar-tukar fikiran antara satu sama lain.

Terdapat berbagai-bagai aktiviti yang disediakan bagi menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke pesta yang akan berlangsung selama satu minggu itu. Antaranya adalah program bicara buku bersama penulis, sesi autograf bersama penulis, pameran dan promosi produk-produk syarikat penerbitan yang terlibat dan bermacam-macam lagi.

“Fulamak! Ramainya manusia,” Farra, Hani dan Dimas terpegun melihat sambutan orang ramai terhadap pesta buku itu.

“Kita nak mula dari mana ni?” tanya Farra. Matanya liar melihat booth-booth buku yang ada di situ.

“Kita mula dari booth nombor satulah,“ cadang Hani. Mereka bertiga melangkah ke booth yang tertulis ’Karangkraf’ yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Masing-masing mula membawa haluan sendiri melihat buku-buku dan majalah yang disusun rapi di atas rak yang disediakan.

Langkah Dimas terhenti. Aku mahu ke mana ya? Aku kan enggak tahu apa-apa tentang buku. Dia melihat Hani.

Hani ralit membelek-belek buku yang ada. Lebih-lebih lagi jika muka depan buku itu menarik.

Ada yang mengatakan bahawa jangan menilai sesuatu buku itu melalui kulit depannya sahaja tetapi itulah kenyataannya. Lumrah alam, manusia akan mudah terpesona dengan sesuatu yang cantik. Pandangan pertama akan mempengaruhi pandangan yang seterusnya.
Dari satu booth ke satu booth yang lain, hampir setiap buku yang ada dibeleknya.
Nak pergi booth mana lagi eh? Rasanya aku belum jenguk booth MTS. Kat mana pula booth dia?

Hani melilau mencari nama ’MTS Publication & Distributor’. Harap-harap dia ada. Cerdik, i-Book, KarnaDya, Creative Enterprise, Pearson... Hani membaca nama-nama booth yang dilihatnya. Haa...itu dia MTS! Hani melangkah menghampiri booth yang dihias dengan reben berwarna kuning dan putih itu. Dia tak datang ke?
“Kak, tumpang tanya,” Hani menegur seorang wanita yang menjaga gerai itu. “Encik Mustaqim ada datang tak?”

“Encik Mustaqim? Encik Mustaqim kat office. Ada apa adik nak jumpa dia?” tanya wanita itu pula.

“Tak ada apa-apa. Tak apalah. Terima kasih,” Hani beredar dari situ dengan rasa hampa. Hani melihat jam di tangannya. Hampir pukul lima. Tiba-tiba dia teringat akan Dimas.

Dimas kat mana ya? Kesian pula kat dia. Mesti dia bosan. Farra pun tak nampak batang hidung.

Hani mengeluarkan telefon bimbitnya lalu menaip SMS. kepada Dimas dan Farra. Apabila SMSnya delivered, Hani meninjau-ninjau mencari kelibat Dimas dan Farra di celah-celah orang ramai itu.

Mana dia orang ni? Ramai juga rakyat Malaysia yang suka buku ya. Tapi mengikut kajian, kadar purata membaca di kalangan rakyat Malaysia masih sedikit.
Hani ralit memerhatikan gelagat dan telatah pengunjung yang datang ke situ. Ada yang datang dengan keluarga. Ada yang datang dengan kawan-kawan. Dan ada juga pasangan bercinta.

Bagusnya dia orang ni. Berkongsi minat yang sama. Sehati sejiwa betul. Eh, mamat baju biru tu macam aku kenal aja. Dimas?

Hani menghampiri lelaki yang sedang duduk di suatu bangku berhampiran dengan booth-booth itu.

“Dim...”

Lelaki itu mengangkat muka.

“Han...”

“Kau kenapa? Kenapa kau duduk sini?”

“Rasanya sakit gastrik aku datang lagi,” ujar Dimas lemah.

“Itulah. Tadi aku suruh kau makan, kau tak nak.”

“Aku cuma takut kamu lewat aja tadi.”

Bukannya dia tak nak makan tadi tapi memandangkan Hani tidak mahu makan, jadi dia juga tidak makan. Tidak selesa rasanya apabila dia makan seorang sedangkan Hani hanya memerhati.

“Kau ni...”

Habis, takkan sebab aku tak nak makan, kau pun tak makan? Aku memanglah jarang-jarang makan. Pelik betul aku dengan mamat sorang ni.

“Tapi aku tak jumpa Farra lagilah,” Hani berfikir sejenak. Macam mana ni? Nak tunggu Farra ataupun nak pergi dulu? Kesian pula kat Dimas. “Tak apalah. Kita pergi makan dulu. Nanti aku hantar mesej kat Farra.”


***


“So apa pendapat kau pasal pesta buku ni?” soal Hani apabila dia dan Dimas menjamu selera di kedai makan berhampiran.

“Banyak sekali bukunya. Aku tak pernah terfikir yang buku itu banyak jenisnya. Selama ini aku hanya tahu kalau buku itu pastinya novel ataupun buku teks. Ternyata fikiran aku itu salah. Masih banyak perkara yang boleh dijadikan buku. Ada buku motivasi, ada buku tentang wanita, ada buku bisnes, ada buku akademik. Pokoknya banyaklah!” ujar Dimas penuh gembira.

“Baguslah kalau kau suka,” Hani lega mendengar kata-kata Dimas. Tak adalah dia rasa bersalah membawa Dimas ke situ.

“Aku suka sangat. Ini suatu pengalaman baru buat aku. Oh ya, Han. Farra mana? Dari tadi dia tidak kelihatan,” mata Dimas liar memerhatikan kumpulan manusia yang membanjiri tempat itu. Mana tahu kalau-kalau Farra berada di celah-celah lautan manusia itu.

“Entah. Tadi aku dah mesej dia bagi tahu kita kat sini,” Hani melihat telefon bimbitnya. Kut-kut Farra ada menghubunginya.

Baru saja Hani hendak menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg, tiba-tiba telefon bimbit itu bernyanyi menandakan ada pesanan yang masuk. Tanpa berlengah, Hani terus membaca pesanan yang baru diterimanya.

“Farra baru mesej. Hani, aku ada hal. Aku balik dulu,” Hani membaca pesanan ringkas yang dikirim oleh Farra kepada Dimas.

“Farra sudah balik?”

“Apalah Farra ni. Balik dulu pula,” Hani kurang puas hati.

“Mungkin dia ada hal,” ujar Dimas.

“Dim, aku tanya kau sesuatu boleh?”

“Tak boleh,” Dimas sengaja mengusik. Dia perasan dengan sikap Hani nan satu itu. Nak tanya sesuatu pun nak tanya boleh ke tak boleh. Cuba aku cakap tak boleh, dia nak tanya lagi ke tak.

Hani menarik muka mendengar jawapan Dimas. Dimas cuma tersengih.

“Canda aja. Kamu mahu tanya apa?”

“Kenapa kau sanggup ikut aku datang sini? Yalah, kau kan bukan ulat buku. Kau tak rasa stres ke buat benda yang kau tak suka?”

“Ya, tapi kalau benda tu bermanfaat tak apa kan?”

Ke mana aja aku sanggup asalkan bersama kamu.

“Tapi konsert Sheila on 7 itu bermanfaat tak?” Hani sengaja menduga.

“Kalau dari sudut positifnya, aku fikir konsert itu bisa merapatkan hubungan kita. Berhibur bersama teman-teman seperti Erwin, Sukry, Armand, Andin dan juga kamu. Kamu berubah fkiran?”

“Aku tengah fikir-fikir lagi.”

“Usah fikir-fikir lagi. Ayo dong. Aku ingin sekali kamu turut serta. Aku janji akan hantar kamu pulang dengan selamat. Aku janji,” ujar Dimas serius.

“Oklah. Memandangkan kau dah temankan aku hari ni, aku setuju ikut kau pergi konsert tu tapi kau belanja?”

“No problem!”

Tiada ulasan: