Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 01, 2008

Budak S.M.A.R.T. 17

Para pelajar tekun menyalin soalan latihan yang diberikan oleh Puan Dewi di papan hitam. Azrizal rancak menyalin nota namun mulutnya sibuk bertanya kepada Shafik tentang percutian tiga hari mereka di De Rhu Beach Resort kelmarin.

“Chap, macam mana cuti kau orang kat De Rhu? Best tak?”

“Biasa aja,” jawab Shafik.

“Hai, tiga hari dua malam kat situ takkan biasa aja kut?”

“Ala…Apalagi yang ada kat resort? Pantai.”

“Tapi aku dengar dia orang cerita pasal pontianak tadi apa?”

“Tak ada apalah.”

Tiba-tiba pintu kelas tersebut diketuk. Semua mata tertumpu ke pintu. Kelihatan dua orang pelajar perempuan menghampiri Puan Dewi.

“Selamat pagi, cikgu,” ujar pelajar itu sopan. Puan Dewi menggangguk. “Kami datang ni nak bagi ni,” pelajar itu menunjukkan beberapa bungkusan coklat yang berbalut cantik.

Kebiasaannya kelab-kelab dan persatuan-persatuan di sekolah itu mengadakan jualan coklat untuk diberikan kepada sesiapa yang teristimewa sempena hari tertentu seperti hari guru, hari sahabat dan sebagainya bagi mengisi tabung kelab. Sebulan sebelum itu, mereka akan mengedarkan borang tempahan ke setiap kelas. Seminggu kemudian, mereka akan mengutip borang tempahan itu semula bagi menyediakan tempahan dan seterusnya menghantar tempahan itu kepada individu yang berkenaan.

“Letak atas meja tu,” arah Puan Dewi. Pelajar itu mengikut kata Puan Dewi.

“Terima kasih, cikgu.”

Kelas tersebut mula bising. Ashraf yang duduk di depan meja guru membelek-belek bungkusan coklat di atas meja guru itu.

“Jangan usik coklat tu!” tegah Puan Dewi. Ashraf meletakkan kembali bungkusan coklat itu di tempatnya. “Lepas masa ni nanti baru bagi. Buat latihan ni dulu.”

Mereka tidak dapat menumpukan perhatian. Semua mata asyik tertumpu ke arah bungkusan coklat di atas meja guru itu. Masa yang berjalan terasa amat perlahan sekali.

“Baiklah. Sampai sini dulu kelas untuk hari ni. Jangan lupa buat kerja rumah yang saya bagi. Siapa tak hantar esok tahulah apa saya nak buat,” ujar Puan Dewi sebelum melangkah meninggalkan kelas itu.

Semua bersorak sebaik-baik sahaja Puan Dewi berlalu. Beberapa orang pelajar meluru ke meja guru. Mereka berebut-rebut mahu melihat bungkusan coklat itu.

“Untuk aku ada tak?” tanya Farok.

“Melissa, Azleen,…” Asyraf membaca nama yang tertera di kad coklat.

“Riz, kau punya!” Iqbal menghulur dua bungkusan coklat kepada Azrizal. Azrizal menyambut huluran Iqbal.

“Siapa bagi, Riz?” Shafik melihat bungkusan coklat di tangan Azrizal. Azrizal membaca ucapan yang tertera di kad yang melekat di bungkusan coklat itu.

“Good luck in your SPM. Yang ini Tya bagi. Yang ini… “ Azrizal membelek kad yang ada di bungkusan coklat itu, mencari nama si pengirim. “Tak ada nama pun.”

“Bak sini!” Shafik mengambil bungkusan itu daripada Azrizal lalu membelek dan membaca ucapan yang tertera di situ. “You are always in my heart. Hooyo! Tak sangka kau ada peminat.”

“Siapalah orang yang rabun tu?” celah Iqbal sekadar bergurau. Azrizal menjeling tajam ke arah Iqbal. Melihatkan panahan mata Azrizal itu, Iqbal menukar topik. “Agak-agak siapa ya?”

“Who cares? Bukalah cepat! Kita orang pun nak rasa,” gesa Shafik. Azrizal pantas mengoyak bungkusan yang membaluti coklat itu namun seketika kemudian dia terhenti.

“Tapi…”

“Apa?” soal Shafik.

“Halal ke kita makan kalau tak tahu siapa yang bagi?” Azrizal khuatir. Bab-bab makan ni bukannya boleh diambil ringan.

“Kau ni apalah. Kan dah jelas kat situ tulis nama kau. Sah sahlah untuk kau,” Iqbal menyampuk.

“Entah kau ni. Orang dah bagi tu ambil ajalah. Rezeki jangan ditolak,” ujar Shafik pula.

“Betul juga. Tapi tak syoklah kalau tak tahu siapa bagi,” Azrizal masih teragak-agak.

“Kalau kau tak nak biar aku dengan Shafik saja yang belasah coklat ni,” Iqbal mahu mengambil coklat itu daripada tangan Azrizal namun dihalang oleh Azrizal.

“Mana boleh? Dah tulis nama aku. Sah sahlah aku punya,” balas Azrizal.

“Tadi tak nak.”

“Siapa kata aku tak nak?”

“Ala…cepatlah buka.”

Pada waktu yang sama, di meja Athira dan Fatin. Athira juga mendapat satu bungkusan coklat. Jenis yang paling mahal pula tu!

“Siapa bagi?” Fatin membelek bungkusan coklat di tangan Athira.

“Entah. Tak ada nama pun. Riz agaknya,” teka Athira.

“Hish! Tak mungkin Riz. Riz tu kan kedekut. Nak bagi bunga sekuntum pun jangan harap!” pintas Fatin.

“Kalau bukan Riz, siapa?”

Fatin menjungkit bahu.


***


Malam itu, persoalan mengenai pengirim misteri itu terjawab apabila pengirim itu sendiri menghubungi Athira di rumahnya.

Tatkala itu Athira sedang menyiapkan kerja rumah di biliknya apabila ibunya memberitahu tentang panggilan telefon itu.

“Tya, telefon.”

“Siapa, ma?”

“Shamsul.”

“Shamsul?” Athira hairan. Ada apa pula Shamsul telefon aku ni? Namun dalam tertanya-tanya itu, panggilan Shamsul itu dijawab juga. “Hello.”

“Hello, Tya. Terkejut ke?” suara di hujung talian menerjah gegendang telinganya.

“Terkejut juga. Macam mana Shamsul tahu nombor telefon saya?” soal Athira. Setahunya tak ada pula dia bagi nombor telefon rumahnya kepada Shamsul. Shamsul juga tidak pernah meminta nombor telefon rumahnya.

“Fatin yang bagi,” jawab Shamsul.

“Fatin?” Athira mengetap bibir, geram. Fatin ni, pandai-pandai saja!

“Tya tengah buat apa tadi?” tanya Shamsul.

“Tengah buat kerja sekolah. Kenapa Shamsul telefon?” Athira bertanya kembali. Ada nada tidak senang pada suara itu.

“Hai, macam tak suka aja saya telefon,” balas Shamsul.

“Tak adalah. Cuma terkejut saja,” Athira cuba untuk tidak menyinggung hati Shamsul.

“Anyway, Tya suka tak coklat yang saya bagi tu?” Shamsul menyatakan tujuan sebenar dia menelefon.

Athira tersentak.

“Coklat?” Athira terdiam sejenak. Shamsul ke yang bagi? Bukan Riz ke? “Oh, Shamsul ke yang bagi coklat tu? Ingatkan…”

“Tya ingat siapa?” Shamsul sengaja ingin menduga walaupun dia sudah tahu jawapannya.

“Err… tak ada apalah. Mmm… Sham, kita sembang lain kali sajalah ya. Saya banyak kerja ni,” Athira memberi alasan untuk tidak memanjangkan perbualan itu. Apa kata Riz nanti kalau dia tahu Shamsul telefon aku?

“Kalau Tya ada kerja nak buat, tak apalah,” Shamsul sedikit hampa.

“Sorry ya.”

“It’s ok. Kita jumpa di kelas esok,” Shamsul cuba menutup kekecewaannya. Athira meletakkan gagang.

Tiada ulasan: