Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, November 29, 2008

Budak S.M.A.R.T. 2

Motosikal yang dinaiki oleh Azrizal menapak di sebuah rumah kembar dua bernombor A7032 yang terletak di Lorong Tok Sira 17. Selepas memarking motosikalnya, Azrizal melangkah ke kamar tidurnya di belakang.

Dahulu, rumah itu hanya ada tiga buah bilik. Bilik depan iaitu bilik utama dihuni oleh kedua-dua ibu bapa Azrizal, bilik tengah dihuni oleh kakak dan adik perempuan Azrizal dan bilik belakang dihuni oleh Azrizal sendiri bersama abangnya. Sejak kakaknya berkahwin, dua bilik ditambah bagi keselesaan mereka. Oleh itu, setiap seorang daripada mereka mempunyai sebuah bilik dan mereka bebas menghias bilik itu mengikut citarasa mereka sendiri.

Namun, pengubahsuaian itu dirasakan tidak berbaloi kerana sekarang mereka semua sudah membawa haluan masing-masing.

Ibu bapa Azrizal, Encik Ariffin dan Puan Farhana hanya bekerja makan gaji. Kesibukan tugas membuatkan mereka jarang-jarang berada di rumah. Abang Azrizal, Ahmad Andrian Haris, berusia 27 tahun. Akibat kecewa atas kegagalan rumah tangganya yang hanya mampu bertahan selama dua tahun, Andrian mengambil keputusan membawa diri ke Australia dan bekerja di sana.

Kakak Azrizal, Ainul Nazian, 24 tahun baru sahaja mendirikan rumah tangga pada cuti sekolah yang lalu dan kini menetap di negeri kelahiran suaminya di Kota Bharu, Kelantan. Adik Azrizal, Aina Nabila pula sedang menuntut di sekolah berasrama penuh Sekolah Seri Puteri, Kuala Lumpur. Hanya Azrizal yang tinggal di rumah itu.


Bulan di malam hari
Datang dengan anginnya yang dingin
Ku tekad ‘kan teruskan
Apa yang dijuangkan
Untuk mencapai semua impian
Usah kau gentar dengan cabaran
Ker’na itulah takdir kita

Do you remember that ol’ lullaby
Ingatan yang lama ku kan lupa
Telah ku tinggalkan
Akan ku tuliskan memori buatmu
Semua lelaki lonely soldier boy
Katakan pada dunia lonely soldier boy
Cahaya mentari yang datang kembali

Bila hati curiga
Jantung berdegup dengan lajunya
Pejamkan saja mata tenang buat seketika
Harus kau ingati bila… Bila semua telah tiada
Hargai masa silam kita



Lagu ‘Lonely Soldier Boy’ nyanyian Hujan menerjah ke gegendang telinga sebaik-baik saja radio itu dipasang. Azrizal menguatkan suara radio itu ke tahap maksimum lalu dia menghilang ke bilik mandi. Sepuluh minit kemudian, dia lengkap berbaju T dan berseluar track sebelum mengambil tempat di hadapan komputer. Tangannya menekan suis komputer. Serta-merta talian internet disambungkan.

Dia terus menaip laman web my space. Selepas mengisi emel dan kata laluan di ruang log in, dia melihat status kawan-kawannya di situ. Senyuman terukir di bibirnya apabila melihat sahabat baiknya online.

“Hai, Riz!” sahabat itu menyapanya.

“Hai… Lama tak dengar cerita. Macam mana cuti sekolah? Seronok?” Azrizal membalas sapaan itu.

“Bolehlah. Awak macam mana? Pergi mana cuti hari tu?”

“Tak pergi mana pun. Paling jauh pun, balik kampung saja.”

“Kampung mak ke kampung ayah?”

“Kampung mak kat JB. Awak pula buat apa cuti hari tu?”

“Tak buat apa. Duduk rumah saja.”

“Duduk rumah saja? Tak bosan ke? Tak balik kampung?”

“Bosan juga. Tapi nak buat macam mana, ayah saya tak benarkan saya keluar. Kadang-kadang bosan juga asyik terperap saja dalam rumah ni.”

“Tak apalah. Mungkin ayah awak bimbangkan keselamatan awak.”

“Saya tahu tapi sekali-sekala saya pun nak merasa juga melepak bersama kawan-kawan saya kat luar.”

“Mungkin awak rasa agak terkongkong tapi bagi saya, ayah awak cuma mahukan yang terbaik untuk awak. Terus-terang saya cakap, saya cemburu dengan awak.”

“Awak cemburu dengan saya? Kenapa pula?”

“Yalah, ayah dan mak awak begitu mengambil berat pasal diri awak. Tak macam mak ayah saya. Dia orang tak pernah nak ambil tahu pasal saya. Saya pun jarang-jarang jumpa dia orang walaupun kita orang tinggal di bawah bumbung yang sama. Agaknya saya dah masuk tingkatan lima pun dia orang tak sedar.”

“Takkan sampai macam itu sekali?”

“Memang susah nak percaya tapi itulah hakikatnya.”

“Tapi awak masih ada ramai kawan kan? Tak macam saya. Kalau dah selalu berkurung dalam rumah ini, kawan-kawan pun dah malas nak ajak saya keluar sebab dia orang tahu mesti ayah saya tak bagi saya keluar.”

“Tak apalah. Sekurang-kurangnya kurang sikit risiko awak untuk terlibat dengan benda-benda yang tak elok kan?”

“Mungkin. Eh, kita cakap pasal benda lainlah. Awak dah dengar ke lagu yang saya bagi tu?”

“Dah. Terima kasih.”

“Best tak?”

“Best! Saya tengah dengarlah ni. Boleh saya tanya?”

“Apa dia?”

“Kenapa awak minat sangat dengan Hujan?”

“Sebab lagu dia orang unik dan universal. Ada lagu untuk abang, ada lagu untuk kakak, lagu untuk ibu dan macam-macam. Bukan cinta kepada kekasih semata-mata. Saya kagum dengan dia orang sebab dia orang berani mengutuk sikap hipokrit Amerika terang-terangan dalam lagu Ludah Amerika.”

“Nama band dia orang pun simple dan catchy kan?”

“Betul tu. Pertama kali saya dengar nama Hujan, saya dah tertarik. Yalah, kat Malaysia ni kan tak banyak band yang guna nama Melayu sebagai nama band dia orang.”

“Saya pun setuju dengan pendapat awak.”

“Awak pula macam mana? Dah dapat nama yang sesuai untuk band awak?”

“Belum. Mungkin ‘Ribut’ agaknya. Hehe…”

“Kenapa tak letak nama ‘Taufan’ saja?”

“Hehe… Kita orang tak berapa aktif sangatlah. Masih dalam proses belajar. Lagipun kita orang belum dapat cari vokalis lagi. Awak berminat?”

“Saya? Kalau saya jadi vokalis band awak, alamatnya hancurlah band awak tu. Lagipun mak dengan ayah saya tak berapa berkenan sangat dengan bab bab hiburan ni. Pantang bagi dia orang kalau anak-anak dia orang terlibat dalam bidang ni.”

“Adik-beradik awak ada yang terlibat dalam bidang hiburan ke?”

“Kalau secara serius tu tak adalah tapi kalau setakat menyanyi kat acara sekolah tu bolehlah. Itu pun mak ayah saya tak tahu. Kalau tak, habislah. Kita orang nak tengok konsert pun, dia orang tak bagi.”

“Bagus betul mak dan ayah awak.”

“Riz!”

Sedang Azrizal ralit melayan internet, tiba-tiba kedengaran suatu suara memanggilnya di luar rumah. Azrizal mengerling jam di sebelah kanan bawah pada skrin komputernya. Pukul lima setengah? Azrizal tersentak. Tak sedar sudah lebih dua jam dia berbual dengan sahabat internetnya itu.

“Sorry, saya kena pergi sekarang. Kawan saya dah datang.”

“Okaylah. Saya pun tak nak ganggu awak. Kalau ada peluang, saya teringin nak tengok persembahan awak.”

“InsyaAllah. Okay. See you,” Azrizal meminta diri kepada sahabat onlinenya itu lalu meluru ke ruang hadapan.

“Chap, Ball, jom!” Azrizal mengajak teman-temannya itu ke biliknya.

“Riz, sunyi saja rumah kau. Kau tinggal seorang ke?” tanya Shafik. Rumah itu sunyi bagai tiada penghuni.

“Biasalah. Bukan kau tak tahu mak dan ayah aku tu,” Azrizal sudah biasa ditinggalkan sendirian. Ibu bapanya selalu sahaja pulang lewat. Kadang-kadang sudah pukul tujuh pun mereka masih belum pulang. Asyik kerja sahaja tapi tak juga kaya. Mujur teman-temannya, Shafik dan Iqbal sering ke sini. Jadi, tidaklah Azrizal berasa sunyi sangat.

Cakera padat lagu Hujan itu digantikan pula dengan cakera padat sebuah band indie Malaysia yang lain, Meet Uncle Hussain.


Lalala… Lalala... Lalala...

Ha...pening kepala memikirkan tak ada kerja
Tanam anggur... sijil diploma gantung di dinding saja
Ooo, megah rasanya... Jawat kerja pegawai pemasaran
Di Pertama... Rupa oh! rupanya kerahan saja...

Lalala... Hari hari kerja
Lalala... Bosan dengan kerja
Lalala... Hidup harus kerja!

Ahh..terpinga-pinga... Tak puas lagi beradu...mengantuk...
Subuh hingga senja... Hari hari sama saja...
Ahh..nak bancuh kopi tapi gulanya tiada... Minum saja...
Kerja bagai nak gila tak juga kaya...

Gelisah... ku gelisah mengenangkan masa depan...
Ku harus kerja... Oh! mesti kerja..
Tiada apa yang percuma... kau letih
Jika tiada kerja... Oh! papa kedana...


Shafik terangguk-angguk menghayati rentak lagu Lalala…kerjalah! itu sementara Iqbal pula leka melayari internet di komputer Azrizal.
“Nah,” Azrizal menghulur cakera padat itu kepada Shafik. Shafik mengambil cakera padat itu daripada Azrizal.

“Hujan?” Shafik membaca nama band yang tertera di cakera padat itu. “Band mana ni?”

“Malaysialah. Band indie,” jawab Azrizal.

Band indie adalah istilah yang digunakan bagi sebuah band yang menggunakan modal sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana syarikat rakaman. Dari penghasilan lagu, proses rakaman, pemasaran dan lain-lain. Pendek kata, semuanya sendirilah!

“Kau dah dengar? Best ke?”

“Best jugalah. Cubalah kau dengar,” Azrizal mencapai gitarnya di sisi katil lalu memainkan suatu melodi. Gitar itu adalah pemberian pak ciknya, yakni abang kepada ibunya. Gitar itu adalah hadiah berikutan keputusan cemerlangnya dalam peperiksaan PMR dulu. Hanya pak ciknya itu yang memahami minat dan cita-citanya.

“Tengok sini,” Iqbal mengambil cakera padat itu daripada tangan Shafik, melihat sekilas lalu diserahkan semula kepada Shafik.

“Aku pinjam dulu ya,” ujar Shafik.

“Pinjamlah tapi jangan lupa pulangkan balik,” balas Azrizal.

“Aku tahulah. Ball, kau tengok apa tu?” Shafik melihat Iqbal. Entah apa yang dilihatnya di internet itu sampai langsung tidak menoleh ke kiri, ke kanan mahupun ke belakang.

“Aku tengah tengok idaman aku ni,” ucap Iqbal.

“Awek ke? Cun tak?”

“Cun,” Iqbal sengaja mengumpan perhatian Shafik.

“Aku nak tengok juga,” Shafik bangkit menghampiri Iqbal dengan penuh teruja. “Mana? Cis! Aku ingatkan gambar awek tadi. Rupanya gambar drum.”

“Aku rasa aku tak sebut pun perkataan ‘awek’ tadi.”

“Kau saja nak kenakan aku kan?”

“Rilekslah. Cuba kau tengok drum ni. Buat aku geram saja. Oh, drum! Bilakah aku dapat memilikimu?”

“Dalam mimpi!” kata Shafik geram. “Dahlah. Bagi aku guna pula. Dah lama aku tak buka friendster aku.”

“Kau ada friendster ke?”

“Apa? Kau ingat aku ni kolot sangat ke?”

“Memang pun. Orang sekarang dah tak main friendsterlah. Orang sekarang layan my space.”

“Tak kisahlah apa-apa pun. Tepilah,” Shafik menarik lengan Iqbal agar berganjak dari komputer itu. Namun Iqbal enggan. Maka berlakulah insiden tarik-menarik antara mereka berdua.

Azrizal tidak mengendahkan teman-temannya itu. Dia memejamkan mata sambil menjiwai irama yang dialunkan oleh jari-jemarinya.

Tiada ulasan: