Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Sabtu, November 29, 2008

Budak S.M.A.R.T. 1

Kelas 5 Kemanusiaan Harmoni yang terletak di hujung bangunan itu riuh-rendah dengan suara dan gelagat para penghuninya. Maklumlah sudah agak lama mereka tidak berjumpa. Masing-masing sibuk bercerita tentang pengalaman percutian yang dilalui sepanjang dua bulan yang lepas. Ada yang bercuti bersama keluarga hingga ke luar negara dan ada yang hanya bercuti di rumah sendiri.

Di belakang kelas, tiga pelajar lelaki sedang rancak berbual. Namun bukan perihal percutian yang menjadi pokok perbualan mereka sebaliknya perihal guru kelas baru mereka pada tahun itu.

“Geng, siapa guru kelas kita tahun ini?” tanya Shafik kepada dua teman baiknya itu.

“Cik Mazleen,” jawab Iqbal.

“Hah? Cik Mazleen? Habislah kita,” ujar Azrizal.

“Kenapa?” Iqbal berkerut.

“Takkan kau tak kenal Cik Mazleen tu? Satu sekolah dah tahu pasal sikap kejam dia tahu!” cerita Azrizal.

Memang satu sekolah itu telah sedia maklum tentang sikap dan perangai guru mereka yang seorang itu. Siapa yang tidak kenal dengan Cik Mazleen? Cikgu yang paling kejam di sekolah itu. Pendek kata, siapa yang dapat Cik Mazleen sebagai guru kelas memang malang.

“Kejam sangat ke Cik Mazleen tu?” Iqbal masih tidak percaya. Selama ini mereka hanya mendengar cerita daripada mulut pelajar lain. Dan sekarang mereka akan merasai sendiri berada di bawah pengawasan Cik Mazleen. Mudah-mudahan semua cerita itu hanya sekadar khabar angin.

“Aku tak tahulah cerita tu betul ke tidak. Tapi kata budak tingkatan lima tahun lepas, Cik Mazleen tu cepat naik darah. Pantang silap sikit, bersedialah untuk terima habuan. Kalau tak siap kerja rumah pula, dia akan gandakan kerja tu,” tambah Azrizal lagi.

“Kalau macam tu, teruklah kita tahun ni,” Iqbal meluahkan kekesalannya. Tak seronoklah kalau tak buat kerja jahat.

“Lupakan saja semua tu. Bukannya kita tak biasa kena marah. Yang bestnya aku dengar cikgu kita yang seorang ni belum kahwin lagi tahu,” ujar Shafik.

“Betul ke, Chap? Tapi setahu aku, umur cikgu kita tu dah nak masuk 30 tahun kan?” Iqbal mengira-ngira usia Cik Mazleen yang sebenar.

“Itulah pasal!” Shafik mencelah. “Nak kata tak cantik, cantik. Ala-ala Wardina gitu.”

“Agaknya sebab dia garang sangat sebab itu tak ada orang nak pada dia,” kata Azrizal.

“Kiranya cikgu kita tu andartulah kan?” Kata-kata Iqbal disahut dengan tawa Azrizal dan Shafik.

Kelas itu bertambah gamat. Masing-masing tidak putus-putus bercerita hingga tidak menyedari akan kedatangan guru mereka.

Ketika melangkah ke kelas itu, dia sudah dapat mendengar suara riuh-rendah. Dan apabila kakinya menapak di kelas itu, darahnya seakan naik ke muka apabila melihat keadaan kelas itu.

Papan putih dipenuhi lukisan tangan yang tidak bertauliah. Di belakang kelas, bakul sampah tumbang. Sampah di dalamnya bertaburan di lantai. Meja dan kerusi tunggang langgang. Lebih teruk daripada kapal karam.

Bunyi buku yang dihempas mematikan kekecohan yang melanda kelas itu. Serta merta kelas itu menjadi sunyi. Pandangan mereka tertumpu di hadapan kelas. Pelajar yang bukan penghuni tetap di kelas itu bergegas ke kelas mereka apabila terlihat guru itu. Guru wanita itu kelihatan marah.

“Bangun… Selamat pagi, cikgu,” arah Athira yang pernah menyandang jawatan ketua kelas pada tahun lepas dan diikuti oleh pelajar lain.

“Selamat pagi,” Dalam nada marah, dia masih menjawab ucapan selamat itu. Matanya liar memerhatikan setiap raut wajah anak didik barunya pada tahun itu.

Tanpa menunggu lama, para pelajar itu melabuhkan punggung di kerusi. Namun suara garang guru wanita itu membuatkan mereka tidak jadi duduk. Yang dah duduk pula berdiri semula.

Masing-masing tunduk membisu. Tidak ada sesiapa pun yang berani bersuara ketika itu. Guru wanita itu telah mula menunjukkan kuasanya.

“Dahlah lambat turun perhimpunan, bising lagi! Dah lima tahun di sekolah ni pun tak reti-reti lagi! Mungkin ada yang baru dua tiga tahun di sini. Tapi yang dah lima tahun tu takkan tak tahu setiap hari Isnin kita ada perhimpunan?” marah guru wanita itu. Malu dia dengan sikap pelajar-pelajarnya. Hari pertama saja sudah buat hal. Beginikah sikap pelajar tingkatan lima? Pelajar yang menjadi contoh kepada pelajar yang lebih muda.

Pagi-pagi lagi dia telah ditegur oleh pengetua kerana sikap pelajar kelasnya yang tidak turun ke tapak perhimpunan pada waktu yang telah ditetapkan. Pelajar kelasnya juga mencatatkan jumlah tertinggi yang tidak mematuhi sahsiah rupa diri sebagai seorang pelajar sekolah. Tidak memakai lencana sekolah, tidak mengenakan tali leher, dan berambut panjang bagi yang lelaki. Yang perempuan pula suka melipat lengan baju kurung hingga ke siku dan tidak memakai anak tudung. Nasib baiklah sekolah itu menetapkan semua pelajar perempuan yang beragama Islam mesti memakai tudung. Kalau tidak, kalau buka tudung ni mesti ramai yang macam mat salleh.

Namun di sebalik sikap pelajarnya itu, dia tahu mereka tidak akan melakukan perkara-perkara yang keterlaluan. Berdasarkan rekod akademik mereka, rata-ratanya mendapat lima A dan lebih ketika Penilaian Menengah Rendah dulu. Itulah syarat yang melayakkan mereka untuk mendapat tempat di sekolah ini. Oleh itu, dia sanggup menerima cabaran pengetua untuk memikul tanggungjawab sebagai guru kelas kelas ini pada tahun ini. Dia tahu jika kena dengan gayanya, mereka pasti akan menjadi orang yang berjaya kelak.

“Kita orang lupalah, cikgu,” suatu suara menjawab.

“Lupa?” Dia tidak dapat menerima alasan itu. Dah bertahun-tahun sekolah di sini pun boleh lupa ke? Setahun ada lima puluh dua minggu. Setiap tahun, tidak kurang empat puluh kali mereka mengadakan perhimpunan. Malah kadangkala dua kali seminggu. Takkan itu pun boleh lupa? “Ada berapa orang anak yang kamu jaga di rumah tu? Cikgu lain yang sudah ada lima orang anak pun tak lupa macam kamu. Belum tua lagi dah nyanyuk!”

Agaknya sebab itulah pelajar-pelajar di sekolah ini gerun dengan cikgu yang seorang ini. Suaranya boleh didengari hingga ke bilik guru yang terletak di tingkat bawah. Memang garang. Segarang baju yang dipakainya. Merah! Kalau diamati guru wanita ini tidaklah terlalu tua namun sikapnya yang kuat melenting itu membuatkannya kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar.

Suasana hening. Dia cuba menenangkan hatinya. Sabar Mazleen. Ini semua dugaan. Aku kena kuat. Ini pilihan aku. Mendidik anak bangsa menjadi orang berguna.

“Saya nak kamu semua bersihkan kelas ni sekarang juga. Selagi tak bersih, jangan harap kamu semua boleh duduk,” guru wanita itu memberi arahan.

Tanpa berlengah, tiga puluh lima orang pelajar itu segera bergerak membersihkan kelas itu. Menyapu, menyusun meja, memadam papan putih.

“Ni sampah ni,” Azrizal mengarah seorang pelajar perempuan yang sedang menyapu. “Tu, tu. Macam mana kau menyapu ni? Ni tak bersih.”

“Ni ada lagi,” Shafik mengeluarkan sampah-sampah yang ada di dalam laci mejanya ke lantai. Pelajar perempuan itu mula berang. Dia rasa dipermainkan. “Tengok apa? Sapulah cepat,” Shafik tergelak dalam hati.

Mahu tak mahu, dia terpaksa menyapu sampah-sampah itu. Tak guna! Kau sengaja nak mainkan aku ya. Dia memaki Shafik dalam hatinya seraya tangannya ligat menjalankan kerja. Tiba-tiba timbul suatu idea di kepalanya untuk mengenakan Shafik. Dia akur dengan kata-kata Shafik lalu pura-pura menyapu namun kemudian dia sengaja memukul kaki Shafik dengan penyapu itu.

“Adoi!” Shafik memegang kakinya. Kurang asam! Kau sengaja kenakan aku ya Fatin! Sakitnya.

“Sorry,” Fatin tersenyum puas hati. Padan muka kau! Nak buli aku? Jangan mimpilah!

Setelah kelas itu agak bersih, mereka berdiri di tempat masing-masing. Tidak berani untuk duduk. Takut kalau-kalau guru wanita itu mengamuk lagi.

“Baik, kamu semua boleh duduk,” ujar guru wanita itu setelah berpuas hati dengan keadaan kelas tersebut.

Sebaik-baik saja mendengarkan itu, mereka terus duduk. Guru wanita itu menunggu kesemua mereka mengambil tempat di kerusi masing-masing kemudian dia meneruskan bicara.

“Baik, nama saya, Mazleen binti Kamarul. Guru kelas kamu semua pada tahun ini,” ujar guru wanita itu sambil berjalan-jalan di sekitar kelas menatapi muka-muka baru yang dipertanggungjawabkan kepadanya sepanjang tahun itu. “Dah banyak cerita yang saya dengar tentang kelas kamu semua ni. Ponteng kelaslah, merokoklah, dan macam-macam kes disiplin yang lain. Memandangkan kamu semua berada dalam kelas saya, saya tak nak perkara-perkara macam ni berlaku lagi. Selagi kamu semua dalam kelas saya, segala tingkah laku kamu semua adalah di bawah pengawasan saya. Kalau kamu nak cabar saya, silalah. Tahulah saya nak buat apa. Kamu semua belum kenal lagi siapa saya.”

“Teruklah macam ni. Kau rasa Cik Mazleen betul-betul kotakan kata-kata dia ke?” Shafik dan Azrizal berbisik-bisik sesama sendiri.

“Entah. Dia gertak kita saja tu. Takkan dia berani?”

“Nak bertaruh?”

“Berapa?”

“Belanja main game sebulan?”

“Okay.”

“Satu lagi peraturan dalam kelas saya, saya tak nak orang bercakap apabila saya bercakap,” Cik Mazleen telah pun berada di hadapan Azrizal dan Shafik. Kecut perut mereka berdua melihat renungan tajam guru wanita itu. “Siapa nama kamu?”

“Ahmad Azrizal Hafiz bin Ariffin, cikgu,” Azrizal menentang mata Cik Mazleen. Cantik juga cikgu ni. Kalau tak garang, mesti dah ramai yang masuk meminang.

“Kenapa tak pakai tali leher?” Cik Mazleen melihat Azrizal dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Tali leher tak ada, lencana tak ada, rambut pun dah hampir menutupi telinga. Selekeh betul.

“Tertinggal, cikgu,” Azrizal memberi alasan. Sememangnya dia tidak gemar memakai tali leher. Lehernya akan terasa terikat jika memakai tali leher. Pagi tadi pun Laily sudah menegurnya kerana hal itu. Dia selamba melangkah ke dalam pagar sekolah apabila namanya dipanggil oleh seorang pengawas yang bertugas.

“Azrizal,” lembut saja suara itu memanggil. Dan kerana kelembutan itu, Azrizal semakin galak mengusik gadis itu.

“Yes, baby?” Azrizal berpatah mendapatkan gadis itu.

Gadis itu berlagak biasa mendengar Azrizal memanggilnya dengan nama itu. Selama mengenali Azrizal, dia telah masak dengan perangai pelajar lelaki itu yang gemar mengusik pelajar perempuan di sekolah itu.

“Kenapa tak pakai lencana?” soal gadis itu.

“Tak ada orang nak tolong jahitkan,” ujar Azrizal manja. Dia suka melihat wajah gadis itu apabila diusik begitu. Comel!

“Tali leher awak mana? Takkan tali leher pun nak tunggu orang pakaikan juga?”

“Kalau awak nak tolong pakaikan, apa salahnya?”

“Kali ini, saya maafkan awak. Tapi esok jangan lupa pakai lencana dan tali leher,” gadis itu mengingatkannya.

“Yalah, sayang.”

“Saya bagi kamu semua tempoh seminggu,” suara Cik Mazleen membawa fikiran Azrizal ke kelas semula. “Mulai minggu depan, siapa yang tidak mengikut sahsiah rupa diri akan didenda. Faham?”

“Faham…” Hanya beberapa orang pelajar yang menyahut.

“Hai, tadi bising bukan main kuat lagi,” Cik Mazleen tidak berpuas hati dengan sambutan pelajar-pelajarnya itu lalu mengulang kembali soalannya dengan nada yang lebih tegas. “Faham tak semua?”

“Faham…!!!”

Mereka turut menguatkan suara menyamai nada suara Cik Mazleen.

“Bagus. Sekarang kita akan melantik seorang ketua kelas dan penolong ketua kelas untuk tahun ini,” Cik Mazleen melangkah ke arah papan putih.

Tiada ulasan: