“ANGGAP
ajelah ini semua takdir. Mana tahu dia jodoh kau ke, kan? Daripada pasangan
kerja terus jadi pasangan hidup,” usik Fauziah atau lebih akrab dipanggil Gee
merangkap teman sebilik Elfira apabila Elfira menceritakan perihal Danish
kepadanya.
Sejurus
kemudian, sebiji bantal melayang dan mengenai muka Fauziah.
“Banyaklah jodoh kau! Tak nak aku
berjodoh dengan orang yang pendiam macam tu. Nanti sunyi sepi rumah tangga aku
tau,” bantah Elfira.
Fauziah tergelak.
“Pendiamlah
bagus, tak banyak cakap. Nanti tak adalah rimas. Asyik pot pet pot pet 24 jam.”
Fauziah masih giat mengusik.
“Tak naklah, aku nak orang yang
bertentangan dengan aku,” luah Elfira.
“Yalah,
aku tahu taste kau macam mana,” ujar
Fauziah sambil memeluk bantal yang dibaling oleh Elfira tadi.
Elfira tersengih. “Tahu tak apa.”
Dari
mula lagi dia sudah dapat merasakan yang dia dengan Danish pasti tidak akan
ngam. Dia tidak suka orang pendiam kerana dia tidak pandai berbual dengan orang
yang pendiam memandangkan dia sendiri tidak begitu peramah. Dia perlukan masa
yang agak lama untuk mesra dengan seseorang itu.
Ada
juga yang mengatakan dia sombong kerana tidak bertegur sapa dengan mereka.
Kalau orang yang betul-betul kenal dengannya, pasti mereka tahu yang dia bukan
sombong. Cuma dia tak pandai bergaul dan memulakan perkenalan. Tapi bila sudah
biasa, mulutnya tak reti pula hendak diam.
Waktu
dia mula-mula menjadi rakan sebilik Fauziah pada semester pertama dulu pun,
hubungan mereka agak hambar. Hanya setakat berbalas senyuman dan soalan-soalan
biasa yang mengisi perbualan mereka.
“Dah
makan?”
“Nak
pergi kelas dah ke?”
“Tak
ada kelas ke?”
“Baru
balik?”
Hari-hari
tanya soalan yang sama pun bosan juga, kan? Kalau tak sebab Fauziah yang
memulakan perbualan, entah sampai bila mereka tak bercakap. Pasti hubungan
mereka tidak menjadi serapat ini.
Jadi,
bila dia berhadapan dengan orang pendiam seperti Danish, dia jadi mati kutu.
Saat ini dia cuma berdoa tugasan yang dibuat bersama Danish dapat disiapkan
dengan secepat mungkin supaya dia tidak perlu lagi berjumpa dengan Danish.
“Tapi kalau betul-betul dia jodoh
kau, kau kenalah terima!” usik Fauziah lagi lantas terus berlari keluar dari
bilik itu sambil tergelak. Suka benar dia dapat menyakat Elfira.
Tindakan Fauziah yang tidak
disangka-sangka itu membuatkan Elfira tergamam. Sudahnya dia hanya menggeleng
melihat telatah teman sebiliknya itu.
Walaupun
berlainan jurusan tetapi mereka sangat serasi tinggal sebumbung. Disebabkan
itulah sudah lima semester mereka tinggal sebilik. Masing-masing sudah memahami
antara satu sama lain. Justeru, dia tidak pernah mengambil hati dengan
kata-kata Fauziah.
Malah,
hal-hal yang berlaku di kelas pun dia bercerita kepada Fauziah. Sampaikan
Fauziah sudah mengenali nama pelajar-pelajar kelasnya walaupun dia tak kenal
orangnya termasuklah hal Danish yang baru ditemuinya tadi.
Elfira menghidupkan komputer
ribanya. Dia mahu menyiapkan tugasan yang diberi oleh Dr. O secepat mungkin.
Lagi cepat, lagi bagus. Jadi, tak perlulah dia berjumpa dengan Danish
lagi.
Kata Irwan, dia beruntung sebenarnya
dapat partner dengan Danish kerana
Danish sememangnya seorang yang hebat dalam multimedia. Hasil kerjanya selalu
sahaja gempak. Malah, hasil kerjanya sudah seperti orang yang mempunyai
pengalaman bertahun-tahun dalam bidang multimedia. Pasti Danish tidak sukar
mendapatkan pekerjaan selepas tamat belajar kelak.
“Kalau hebat sangat, kenapa boleh repeat pulak?” sindir Elfira.
Kalau
Si Danish tu betul-betul hebat, pasti dia tidak perlu mengulang subjek
tersebut. Kalau sampai mengulang subjek, pastinya dia tidak sehebat mana.
“Dia repeat bukan sebab tak buat assignment tapi sebab dia selalu tak
datang kelas,” terang Irwan, cuba mengubah tanggapan Elfira terhadap Danish.
“Tak kisahlah sebab apa pun, yang
aku tahu, aku nak siapkan assignment ni cepat-cepat.”
Walau apa pun alasannya, kenyataan
tetap kenyataan. Danish tetap mengulang subjek. Yang penting sekarang, dia
harus memastikan yang dia tidak akan menjadi seperti Danish. Dia harus
menyiapkan assignment yang diberi mengikut tarikh akhir yang ditetapkan.
Memandangkan Danish tidak banyak
kerenah, jadi dia telah mencadangkan agar mereka membuat bahagian
masing-masing. Seminggu dari sekarang, mereka akan bertemu untuk menggabungkan
hasil kerja kedua-duanya dan seterusnya menghantarnya kepada Dr. O. Jadi,
mereka tidak perlu bertemu selalu.
Bijak
kan dia?
Elfira tersenyum sendiri.
1 ulasan:
CASINO BETTING TIPS AND PROMOTIONS
Learn 과천 출장안마 what is a Vegas style bet from professional handicappers who can help you decide what 김포 출장샵 is a Vegas style bet. Learn all you 전라남도 출장마사지 need 서울특별 출장샵 to know. 양주 출장샵
Catat Ulasan