Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Jumaat, November 18, 2011

Kugiran SMART (Bab 11)

ALUNAN lagu ‘Burn Berlin Down’ dendangan Bittersweet yang dimainkan di komputer riba itu mengisi segenap ruang kamar itu. Keadaan di bilik tidur itu agak bersepah. Beberapa keping cakera padat bertaburan di atas lantai.

Tiga anak muda itu leka membuat aktiviti sendiri. Seorang mengadap komputer riba, seorang membelek-belek cakera padat sambil duduk di atas lantai manakala seorang lagi pula memetik-metik gitar sambil menyanyi kecil.

“Sham, kenapa kawan kau ada 1000, aku punya 10 orang pun tak sampai?” tanya Shafik, tidak berpuas hati apabila melihat jumlah kawan Shamsul di Facebook melebihi 1000 orang sedangkan akaunnya cuma ada tujuh orang. Itu pun hanya mereka bertiga dan tiga orang lagi kawan sekolah mereka dahulu. Ini tidak boleh jadi.

“Aku kan dah lama buat Facebook, mestilah kawan-kawan aku ramai. Kau tu baru saja sehari ada Facebook,” balas Shamsul.

“Macam mana kita nak tambah kawan dalam ni?” tanya Shafik lagi. Dia juga mahu mempunyai ramai kawan seperti Shamsul. Jadi, senanglah dia hendak mempromosikan kugiran mereka nanti.

“Tekan sajalah add as a friend,” balas Shamsul sambil tangannya masih tetap memetik gitar manakala mulutnya menyanyi-nyanyi kecil.

Pandangan mata Shafik melilau pada skrin komputer riba itu. Mencari baris ayat yang dikatakan oleh Shamsul. Dahinya berkerut. “Mana? Tak ada pun.”

“Isy, aku dulu pun explore sendiri tau. Mana ada orang ajar.” Shamsul meletakkan gitar di tangannya di atas katil lalu bangkit mendekati Shafik.

“Alah, tak baik kedekut ilmu tau,” umpan Shafik.

“Yalah tu. Tepi!” Shamsul mengarahkan Shafik mengalihkan tangannya daripada tetikus yang disambungkan pada komputer riba itu. “Kau nak add siapa?”

“Sesiapa sajalah,” balas Shafik. Yang dia tahu, dia cuma mahukan ramai kawan.

“Yang 1000 ni pun bukannya semua aku kenal. Dia orang add aku sebab sengaja nak meramaikan kawan dalam list dia orang. Aku cuma add orang yang aku kenal saja. Apa guna ada kawan beribu-ribu tapi semua senyap saja?” Shamsul memberitahu.

“Habis tu, kenapa kau terima?”

“Alah, aku buat Facebook ni untuk suka-suka saja. Sebab tu aku tak letak info peribadi. Gambar pun satu ni sajalah. Bahaya juga kalau orang tahu semua perkara pasal kita,” Shamsul mengingatkan.

“Tapi aku letak semua info peribadi aku. Nanti kalau sesiapa yang kenal aku, senanglah dia orang nak cam aku,” Shafik menyatakan alasannya.

“Nak letak boleh, tapi berpada-padalah. Takkan nombor telefon pun kau nak letak? Kau tak takut ke kalau ada orang kacau kau nanti?” ujar Shamsul memberi peringatan. Dia faham perasaan Shafik yang baru mengenali dunia Facebook itu. Pastinya Shafik teruja untuk mempunyai kawan baru. Namun selagi namanya Internet, kita tidak boleh terlalu jujur. Ada sesetengah perkara yang perlu kita simpan sendiri.

“Kalau yang kacau tu awek, aku suka.” Shafik tersengih.

Shamsul mendengus apabila mendengar jawapan Shafik.

“Status ni untuk apa pula?” Tiba-tiba Iqbal pula bertanya. Rupa-rupanya dia sudah mendengar perbualan mereka berdua sejak tadi.

Shamsul dan Shafik tersentak apabila mendapati Iqbal sudah berada di sebelah mereka. Entah sejak bila dia berdiri di situ, tidak pula mereka sedari.

“Status ni kira macam diari pun ya juga, sebab semua orang asyik beritahu apa yang dia orang buat sampaikan ada yang tulis status selang setiap satu minit!” terang Shamsul. Lagaknya sudah seperti seorang guru yang sedang mengajar di dalam kelas.

“Ya ke?” Iqbal musykil dengan penerangan Shamsul.

“Bila dah lama-lama nanti, kau orang akan dapat tengok macam-macam gelagat dan perangai orang dalam Facebook ni. Ada juga yang menggunakan ruang status ni untuk kutuk orang lain atau melepaskan geram. Kalau berani tulis, beranilah tanggung. Walaupun kita boleh dapat ramai dalam Facebook ni, tapi tak mustahil kita dapat musuh juga,” tambah Shamsul lagi. Adakalanya dia sendiri malas hendak ambil pusing tentang status-status yang tertera dalam Facebook itu.

Kalau setakat hendak pergi makan ke restoran atau ke gerai mamak sekalipun, tidak perlulah beritahu di Facebook. Kadang-kadang menu makan tengah hari pun hendak dikongsikan sekali. Siap rakam gambar makanan dan muat naik di Facebook. Malah, ada yang mengemas kini status setiap satu saat! Takkan hendak beritahu satu dunia tentang aktiviti kita sepanjang masa? Tiada privasi langsung. Atau mungkin orang itu tidak mempunyai kawan dan inginkan perhatian.

Namun status lokasi tempat makan atau menu tengah hari masih dapat diterima. Yang paling tidak tahan apabila ada yang tanpa segan silu menyatakan perasaan kasih dan cinta kepada teman wanita atau teman lelaki kerana memberikan hadiah atau sekadar suka-suka meluahkan perasaan kepada pasangan mereka. Adakah mereka tidak mempunyai telefon bimbit untuk menghubungi pasangan mereka bagi menyatakan perasaan itu? Bukankah lebih elok sekiranya hanya mereka berdua yang tahu akan hubungan mereka? Tidak perlulah menghebahkannya di laman sosial tersebut. Mungkin mereka mahu satu dunia tahu yang mereka sedang bahagia.

Kalau status perhubungan sudah terang-terang in a relationship with, pastilah semua orang tahu mereka sedang berpacaran. Malah, ada juga yang berani meletakkan status married walaupun pada hakikatnya mereka masih belum berkahwin. Apabila hubungan mereka terputus di tengah jalan, maka satu dunia juga akan tahu kerana mereka akan menggantikan status in relationship with dengan single. Kalau semua perkara kita sudah beritahu kepada orang ramai, jadi apalagi yang tinggal?



“EE, bosanlah. Mana Riz ni? Lamanya dating,” rungut Iqbal. Waktu sudah berganjak ke petang, namun bayang Azrizal masih belum muncul.

Shamsul yang tadinya kelihatan leka menonton video di komputer ribanya tersentak apabila mendengar perkataan ‘dating’. “Dating? Riz pergi dating ke?” tanya Shamsul kerana Azrizal cuma memberitahu yang dia tidak dapat berlatih bersama mereka pada hari ini kerana ada hal.

“Yalah, dia keluar dengan Tya,” balas Iqbal.

Shamsul terkedu. “Dia keluar dengan Tya?”

“Habis tu, kau ingat ada perempuan lain ke yang nak kat Riz tu selain Tya?” kata Iqbal, namun kemudian dia teringatkan sesuatu. “Oh ya, mungkin ada tapi perempuan tu pun dah pindah,” tambah Iqbal tanpa menyedari perubahan pada wajah Shamsul.

Shamsul cuba berlagak tenang walaupun sebenarnya sebaliknya. Entah mengapa hatinya berasa tidak tenteram apabila Iqbal menyebut nama Athira. Tiba-tiba sahaja kenangan lalu mengusik jiwanya. Ah, dia tidak berhak menyimpan perasaan cemburu itu! Jika dia tidak mengikut kata-kata Fatin, pasti semua ini tidak akan berlaku. Pasti hubungannya dengan Athira tidak sekeruh ini. Entah mengapa dia terlalu mengikut kata hati ketika itu. Dia cuba membuang semua kenangan yang tidak menyenangkan itu.

“Kalau macam ni, lambat lagilah baru kita dapat siapkan demo untuk stesen radio tu.” Rungutan Iqbal bersambung.

“Alah, orang tu ada awek. Takkan tiap-tiap hari dia nak lepak dengan kita, kan?” Shafik mencelah. “Sekali-sekala, biarlah dia nak dating dengan awek dia.”

Pada mulanya, Shafik dan Iqbal memang tidak bersetuju apabila Azrizal kembali menjalin kasih dengan Athira selepas Athira memutuskan hubungan mereka beberapa bulan lalu. Namun apabila Azrizal masih berdegil, mereka berdua sudah malas hendak bercakap apa-apa lagi. Biarkanlah, asalkan kawan mereka yang seorang itu bahagia.

“Kita nak buat apa ni?” tanya Shafik pula. Dia juga sudah tidak tahu mahu berbuat apa. Matanya seakan-akan sudah mahu tertutup dek kebosanan yang melanda. “Sham, dari tadi aku tengok kau asyik mengadap laptop tu, tak bosan ke? Kau buat apa sebenarnya?”

“Aku tengah tengok YouTube,” balas Shamsul. Selain Facebook, laman YouTube juga merupakan salah satu laman yang sering dilayarinya setiap kali melayari Internet. Pelbagai perkara dapat dilihat dan dipelajari di sana terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan muzik.

“YouTube?” Shafik kini bergerak ke sebelah kanan Shamsul. Matanya melihat pada skrin komputer riba Shamsul. “Apa yang kau tengok? Tak ada apa pun. Gelap saja.”

“Video yang ni memanglah tak ada gambar sebab budak ni tak suka tunjuk muka. Tapi suara dia sedap tau,” balas Shamsul.

“Cuba pasang kuat sikit. Aku nak dengar juga,” kata Shafik. Iqbal juga sudah bergerak ke sebelah kiri Shamsul. Mereka kini mengapit Shamsul.

Shamsul memainkan semula video yang ditontonnya tadi dan menguatkan nada suara. Maka, berkumandanglah suara seorang budak lelaki yang mungkin berusia dalam lingkungan 20-an menyanyikan sebuah lagu yang digubah mengikut gayanya sambil memetik gitar. Ketiga-tiga mereka tekun mendengar suara daripada video yang gelap itu.

“Macam lawak saja dia nyanyi. Habis rosak lagu orang,” komen Iqbal selepas mendengar nyanyian tersebut.

“Alah, main-main saja. Lagipun, ramai yang suka. Tengok ni, lebih daripada 10000 views tau. Jangan main-main,” kata Shamsul.

“Aku rasa aku ada idea,” celah Shafik.

“Apa?” tanya Shamsul dan Iqbal, hampir serentak.

“Apa kata kita upload lagu kita di YouTube pula?” tanya Shafik sambil mengangkat sebelah kening.

5 ulasan:

ria.. berkata...

bila akak nak sambung citer nie?.. i wait..

Ilmar Imia @ Fathi Ramli berkata...

InsyaAllah, sedang diusahakan :)

ryha ieyha berkata...

akak.. cepatlah post.. dh lama kiter tunggu...huhu ;'(.. cepat cepat tau!!

Ilmar Imia @ Fathi Ramli berkata...

InsyaAllah, dalam minggu depan akak post ya.

ryha ieyha berkata...

saya tunggu!! hehe.. tp kena buat cepat cepat.. sbb. sy dh mul boring..