Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Rabu, Disember 08, 2010

Belum Ada Jodoh 3

SEORANG gadis yang sedang menjamu selera bersendirian di restoran KFC yang terletak di tingkat dua, KL Sentral itu dihampiri. Daripada gambaran yang diberikan oleh Afia tadi, tidak sukar baginya untuk mengecam gadis itu.

“Afia?” sapanya dengan yakin.
Namun, gadis itu kelihatan terpinga-pinga. Kemudian, gadis itu berkata, “Eh, nama saya bukan Afia.”

“Oh, maafkan saya.” Pemuda itu berlalu sambil kehairanan. Dia pasti dia tidak silap orang kerana Afia sendiri yang memberitahunya yang dia memakai baju-T putih, seluar jean biru dan sedang duduk berhampiran dengan pintu masuk restoran KFC itu. Takkan salah pula?

Matanya melilau mencari gadis yang memakai baju-T putih dan seluar biru yang lain. Mungkin juga kebetulan sahaja gadis itu memakai pakaian seperti yang digambarkan oleh Afia. Manalah tahu Afia duduk di meja berhampiran dan dia yang tidak perasan. Namun tiada. Jika gadis itu bukan Afia, habis di mana Afia?



TANPA pengetahuan Asyraf, segala gerak-gerinya sedang diperhatikan oleh Afia dan kawan-kawannya.

“Kesianlah aku tengok dia. Daripada gaya dia, aku yakin dia orang yang baik,” ujar Afia. Tidak jauh dari meja gadis tadi, Afia, Ezlyn dan Noni sedang memerhatikan gelagat pemuda itu.

“Kau ni mudah sangat kesian pada oranglah,” tegur Ezlyn.

“Entahnya, mana tahu kawan-kawan dia tengah menyorok kat mana-mana dan tengah perhatikan kita.” Seperti biasa, Noni pasti akan menyokong kata-kata Ezlyn. Cadangan untuk mengenakan Asyraf tadi juga adalah cadangan Ezlyn dan turut mendapat sokongan Noni. Alasan mereka, mereka tidak mahu menjadi popular gara-gara dirompak oleh Asyraf dan kawan-kawannya.

“Tak ada apa-apalah. Lagipun, ini kan tempat terbuka? Ramai orang,” ujar Afia. Dia tetap yakin yang Asyraf tidak sejahat itu.

“Kau ingat kita ni ada kat zaman bila? Zaman sekarang bukan macam zaman dulu lagi tau. Zaman sekarang, orang lebih suka tengok saja daripada masuk campur hal orang lain,” Ezlyn tetap membangkang.

“Kalau ya pun, janganlah prejudis sangat. Dahlah, biar aku mesej dia sekejap.” Afia menaip patah perkataan di telefon bimbitnya. Namun belum sempat dia selesai menaip, telefon bimbitnya berbunyi. Nama Asyraf muncul pada skrin. “Alamak, dia telefonlah.” Afia memandang ke arah Asyraf yang berdiri tidak jauh daripada mereka bertiga sambil matanya meliar ke sekeliling. Barangkali Asyraf sedang cuba mengesan kedudukannya.

“Ha, jawablah!” sergah Noni.

“Aku tak suka jawab telefonlah. Kenapa dia tak mesej saja?” balas Afia. Sememangnya dia tidak suka menjawab panggilan telefon, apatah lagi daripada orang yang tidak dikenali. Mungkin kerana dia bukan jenis orang yang pandai berkata-kata atau suka bercakap. Jika pesanan ringkas, dia masih dapat berfikir dan merangka-rangka ayat sebelum menaip.

“Helo, bukan semua orang kedekut kredit macam kau tau. Hari tu dia juga yang beria-ia nak jumpa orang tu,” rungut Ezlyn. Mungkin kerana dia tidak berpuas hati Afia membahayakan nyawa mereka hanya semata-mata kerana sebuah dompet. Dompet masih dapat dibeli, tetapi nyawa hanya sekali.

Lambat-lambat Afia menjawab panggilan itu. “Helo, ya. Err… saya kat KFClah.” Afia diam sejenak seperti sedang berfikir. Kemudian, dia berkata, “Kat dalam.” Akhirnya Afia memberitahu lokasi mereka yang sebenar. Dia tidak kisah jika Ezlyn dan Noni tidak berpuas hati. Baginya, lebih cepat urusan ini selesai, lebih cepatlah mereka dapat balik ke kolej. Dia cuma mahukan dompetnya kembali. Itu sahaja.



AFIA mengangkat tangan sebagai tanda sapaan apabila dia pasti Asyraf dapat melihat mereka. Asyraf mengatur langkah menghampiri mereka bertiga.

“Afia…” Afia bangkit, tanda memperkenalkan diri. Namun dia tidak akan sekali-kali menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan lelaki yang bukan muhrimnya. “Ini kawan-kawan saya, Ezlyn dan Noni. Err… duduklah.”

Melihatkan itu, Asyraf juga seakan mengerti. Dia juga tidak menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia mengambil tempat di sebelah Afia memandangkan hanya kerusi itu yang masih kosong.

Afia memandang Ezlyn dan Noni yang duduk bertentangan dengan harapan mereka dapat membantunya memulakan perbualan dengan Asyraf. Pasti mereka tahu yang dia tidak pandai hendak memulakan perbualan dengan orang lain, terutamanya orang yang tidak dikenalinya. Jika tidak, tidak adalah dia mengajak mereka berdua menemaninya. Dia sangat berharap yang kehadiran mereka berdua dapat membantu. Namun, kedua-duanya tetap berbuat tidak tahu dan berpura-pura sedang enak menikmati ayam goreng.

Afia geram melihat gelagat kawan-kawannya itu. Dia mengajak mereka bukan semata-mata untuk menjadi penonton. Kalau dia tahu begini, mereka tidak ada pun tidak mengapa. Afia memandang Asyraf di sebelahnya. Nampak gayanya, terpaksalah dia sendiri yang memulakannya.

“Err… awak dah makan?” tanyanya kepada Asyraf. Dia cuba berlagak selamba tetapi ternyata dia gugup. Mungkin kerana dia dapat merasakan yang Asyraf sudah dapat mengesan pembohongan mereka tadi lantaran gambaran yang diberikannya tadi langsung tidak sama dengan penampilannya sekarang. Bertudung biru langit, berbaju-T lengan panjang biru laut dan berseluar hitam. Dia juga tidak memberitahu Asyraf yang dia akan datang bersama kawan. Tetapi Asyraf juga tidak bertanya tentang hal itu. Jadi, itu tidak dikira menipu. Cuma tidak beritahu.

Asyraf cuma mengangguk. Tanpa membuang masa, dia segera mengeluarkan sekeping sampul surat bersaiz A4 berwarna coklat dari dalam beg galasnya. Kemudian, dia menyeluk ke dalam sampul surat itu. Dompet Afia yang berada di dalam sampul surat itu dikeluarkan lantas dihulurkan kepada Afia. “Ini dompet awak.”

“Terima kasih.” Afia membelek-belek dompet tersebut. Mujur rantai kunci yang berbentuk botol itu masih ada. Itulah satu-satunya barang pemberian Faiz sebelum dia berangkat ke Kuching, Sarawak bagi melanjutkan pengajian. Satu-satunya benda pengubat rindunya kepada jejaka itu. Apakah ini tandanya dia dan Faiz masih ada peluang?

“Okeylah, saya pun ada hal ni. Jadi, saya minta diri dululah ya.” Asyraf bangkit dari kerusi tanpa menunggu jawapan daripada mereka bertiga.
“Terima kasih tau,” ucap Afia gembira sebelum Asyraf berlalu pergi. Dia terus membelek-belek dompet itu sambil tersenyum.

Tiba-tiba dompet di tangannya itu dirampas oleh Ezlyn. Terkejut Afia dibuatnya, namun tidak pula dia menghalang. Dia memerhatikan sahaja kelakuan Ezlyn itu.

Ezlyn melihat isi di dalam dompet itu. Yang ada hanya kad pengenalan, kad bank dan beberapa kad lain. “Duitnya tak ada.”

“Tak apalah. Yang penting, benda lain selamat.” Afia mengambil kembali dompet itu daripada tangan Ezlyn. Asalkan rantai kunci pemberian Faiz ada, dia sudah tidak menghiraukan benda lain. Benda lain masih dapat diganti jika hilang tetapi bukan rantai kunci itu.

“Entah-entah dia yang ambil duit kat dalam tu,” serkap Ezlyn.

“Kalau betul dia yang ambil duit tu, takkanlah dia berani jumpa kita tadi,” Afia membela Asyraf.

“Manalah tahu. Manusia zaman sekarang kan pandai berpura-pura,” Ezlyn tetap mempertahankan andaiannya. Tidak mungkin masih ada spesies manusia yang baik hati pada zaman sekarang. Baginya, spesies itu sudah pupus.

“Kalau betul pun, itu urusan dia dengan Tuhan,” Afia juga tidak mahu mengalah. Dia tidak mahu berburuk sangka. Asyraf tidak meminta sebarang balasan pun sudah dikira cukup baik. Itu tandanya yang lelaki itu sememangnya ikhlas untuk memulangkan dompetnya.

“Kau orang dah habis makan ke belum? Kalau dah, jom balik. Aku nak sambung tidur,” Noni mencelah pergaduhan manja dua teman baiknya itu. Ini kali kedua mereka terpaksa bangun awal pagi gara-gara menemani Afia. Dan disebabkan itu juga, ini kali kedua Afia perlu membelanja mereka makan.

“Aku dah habis. Afia tu yang tak habis lagi,” jawab Ezlyn sebelum menyedut baki minumannya.

“Aku pun dah,” ujar Afia.

“Dah apa, tu ayam kau tak habis lagi,” balas Ezlyn sambil menunjuk ke arah ayam goreng Afia yang masih berbaki.

“Alah, aku dah kenyang,” dalih Afia. Sudah dapat dompet, mestilah kenyang.

Ezlyn menggeleng. Noni tidak bereaksi. Mereka faham benar dengan tabiat makan Afia yang selalu makan tidak habis itu padahal makanan itu bukannya banyak sangat. Mungkin kerana saiz perutnya kecik. Badannya juga kurus.

Ezlyn terus bangkit dan diikuti oleh Noni. Melihatkan itu, Afia segera menghabiskan sisa minumannya. Namun tiba-tiba pandangan matanya tertancap pada sampul surat bersaiz A4 warna coklat yang berada di atas meja itu.

“Weh, dia tertinggal benda nilah!” beritahu Afia.

“Alah, biarkan sajalah,” balas Ezlyn.

Afia meraba-raba sampul surat itu. Seperti ada berpuluh-puluh keping kertas di dalamnya. Mungkin dokumen penting.

“Tapi kalau benda kat dalam ni penting, macam mana?” tanya Afia. Dia sudah merasa bagaimana rasanya apabila kehilangan barang penting, jadi pastinya dia dapat memahami perasaan Asyraf jika lelaki itu menyedari akan kehilangan barangnya itu.

“Nasib dialah. Bukannya ada kena-mengena dengan kita pun,” jawab Ezlyn tanpa perasaan.

“Tapi…” Afia serba salah.

2 ulasan:

farahusain berkata...

wah...kawan2 si afia ni menguji kesabaran betul! suka sangat berprasangka.

hehehe... best! nak jadi novel kan?

Ilmar Imia @ Fathi Ramli berkata...

InsyaAllah, kalau diterima oleh penerbit :)