“WALAU apa pun, aku tetap tak setuju!” tegas Azrizal selepas uji bakat calon terakhir itu. Mustahil dia akan menerima musuhnya sebagai salah seorang ahli kumpulan mereka. Baginya, sekali berkawan, akan tetap kawan. Begitu juga dengan musuh. Sekali sudah bermusuh, selamanya akan tetap musuh. Mungkin kawan boleh jadi musuh tetapi musuh tidak akan menjadi kawan.
“Tapi Riz, ni untuk kebaikan kumpulan kita juga,” pujuk Shafik. Kalau diikutkan hati, dia juga tidak mahu menerima orang itu tetapi demi kumpulan dan impian mereka, hal remeh-temeh sebegitu perlu ditolak ke tepi. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.
“Aku takkan lupa apa yang dia pernah buat pada aku dulu,” Azrizal masih berdegil. Dia tidak akan berganjak dengan pendiriannya. Dia lebih rela kumpulan mereka tiada vokalis daripada terpaksa menerima orang yang telah menyakitkan hati mereka itu.
“Riz, yang lepas tu biarkan berlalu. Demi kumpulan dan impian kita,” Shafik masih berusaha memujuk.
“Yalah, Riz. Lagipun, dia saja yang memenuhi kriteria yang kita nak,” pujuk Iqbal pula.
“Kenapa dengan kau orang ni? Senang-senang saja nak terima dia? Kau orang dah lupa ke apa yang dia pernah buat pada kita dulu?” Hati Azrizal bertambah panas apabila kedua-dua teman baiknya itu menyebelahi orang lain. Sangkanya, mereka akan menyokong keputusannya tetapi tidak. Seolah-olah mereka sudah sebulat suara.
“Riz, cuba kau berfikiran matang sikit. Tak guna kalau kita terus berdendam macam ni. Buang masa saja. Dia pun dah pernah minta maaf dengan kau, bukan? Kita beri dia peluang, ya? Demi kebaikan kita semua.”
Azrizal memandang Shafik. Kemudian, memandang Iqbal. Hatinya berbelah bahagi sama ada mahu menurut kata hati yang tidak mahu menerima orang itu sebagai vokalis mereka ataupun melupakan sengketa lama demi kebaikan kumpulan dan impian mereka.
“OKEY, sekarang kita orang akan adakan ujian kedua. Kalau kau lulus ujian kedua ini, kau layak ke ujian ketiga. Selepas kau lulus ketiga-tiga ujian ini, baru kita orang terima kau,” ujar Azrizal, serius.
“Okey,” balas calon vokalis itu, tenang. Seolah-olah dia sudah bersedia dari awal.
Shafik dan Iqbal sudah saling menjeling. Kemudian, kedua-duanya menjongket bahu, tanda tidak tahu apa-apa. Seingat mereka, mereka tidak pernah berbincang tentang ujian lain selain ujian vokal. Entah apa yang hendak dibuat oleh Azrizal. Walau apa pun yang cuba dilakukan, mereka berdua dapat mengagak yang Azrizal sengaja hendak mengenakan calon vokalis terakhir itu. Tunggu dan lihat sahajalah.
“Suara kau memang bagus, tapi itu belum cukup untuk melayakkan kau diterima dalam kumpulan ini,” tegas Azrizal. Meskipun hatinya mengakui yang suara calon vokalis terakhir itu sememangnya bagus selepas mendengarnya sendiri sebentar tadi, namun bibirnya enggan menuturkannya demi menjaga egonya. Tambahan pula, dia tidak mahu calon vokalis terakhir itu berasa riyak dan berasa dirinya sudah menang.
“Baik, ujian kedua ini berbentuk teori. Mula-mula sekali, boleh kau terangkan apa yang kau tahu tentang muzik?” soal Azrizal, lagak seperti seorang juri profesional dalam pertandingan realiti TV.
“Bagi aku, definisi muzik itu sendiri adalah universal. Ia bergantung pada penerimaan seseorang memandangkan setiap daripada kita mempunyai sejarah, lokasi, budaya dan citarasa yang berbeza. Ada orang menganggap muzik ialah bunyi yang sedap didengari dan ada juga yang berpendapat muzik itu ialah apa-apa saja bunyi yang dihasilkan secara sengaja oleh seseorang ataupun kumpulan.
Walaupun muzik adalah sejenis fenomena intuisi, untuk mencipta, memperbaiki dan mempersembahkannya adalah suatu seni. Mendengar muzik pula adalah sejenis hiburan manakala mempelajari dan memahaminya adalah sejenis bidang ataupun disiplin. Muzik adalah sebuah fenomena yang sangat unik yang mana ia dapat dimainkan dengan beberapa gabungan alatan muzik,” terang calon vokalis itu, lancar dan yakin.
“Okey. Seterusnya...” Azrizal diam sejenak. Sambil itu, matanya liar memerhatikan satu per satu alat muzik yang ada di dalam studio itu. Gitar, bass dan dram. Sebenarnya dia juga tidak merancang tentang ujian kedua itu, apatah lagi ujian ketiga. Tetapi dia tidak mahu menerima calon vokalis terakhir itu dengan mudah. Justeru, dia perlu memikirkan sesuatu bagi meyakinkan dirinya yang calon vokalis terakhir itu benar-benar bagus.
Seketika kemudian, dia mula mendapat idea! “Okey, aku tak nak tanya apa nama benda-benda ini sebab aku rasa setakat gitar, bass dan dram ni, semua orang pun dah tahu. Tapi kalau kau nak masuk kumpulan kita orang, sekurang-kurangnya kau kena tahu bahagian-bahagian setiap satu daripada alat muzik ini dan fungsinya sekali. Boleh kau terangkan kepada kita orang?”
Shafik dan Iqbal berbalas pandangan. Memang sah Azrizal sedang menguji calon vokalis terakhir itu! Bukankah mereka memerlukan penyanyi sahaja? Asalkan calon vokalis terakhir itu tahu menyanyi mengikut rentak muzik, bukankah sudah cukup? Macam-macamlah Azrizal ini.
“Okey, kita mulakan dengan gitar. Kau tahu tak yang mana satu gitar?” Azrizal sengaja mengherdik calon vokalis terakhir itu.
Calon vokalis terakhir itu mencapai sebuah gitar yang ada di situ. Dia memetik-metik tali gitar itu lantas menghasilkan irama.
“Aku bukan suruh kau main, aku suruh kau terangkan bahagian-bahagian gitar dan kegunaannya saja,” bentak Azrizal. Agaknya memang dia tidak tahu apa-apa pun tentang alat muzik!
“Sorry...” Calon vokalis itu menggosok-gosok gitar itu. Kemudian, dia memandang Azrizal. “Ini headstock. Ini tuning pegs untuk tukar bunyi string gitar sama ada nak bagi bunyinya kencang ataupun kendur. Ini nut. Ini neck. Ini frets. Body gitar,” terangnya seraya memegang bahagian gitar yang dikatakan satu per satu.
“Pick ups, bridge, pick up switch, untuk pilih pick up yang berbeza untuk nada dan suara yang berbeza. Tremelo. Ia disambungkan pada bridge. Dengan menggerakkan ia ke atas ataupun ke bawah, kita boleh ubah bridge untuk dapatkan pitch yang kita nak. Dan akhir sekali, volume dan tone controls, untuk adjust volume dan tone gitar.”
“Okey, bass pula?” Azrizal masih berwajah selamba. Walaupun pengetahuan muzik calon vokalis itu mula terserlah, dia masih cuba menidakkannya. Mungkin calon vokalis itu cuma bernasib baik. Mungkin juga dia cuma tahu tentang gitar sahaja. Bass dan dram belum tahu lagi.
Calon vokalis itu mencapai sebuah gitar bass pula. “Bass ini lebih kurang saja dengan gitar, tapi neck dan bodynya lebih panjang. Bass yang biasa ada empat string tapi ada juga yang mempunyai lapan, sepuluh, 12 dan 15 string. Pitchesnya juga satu oktaf lebih rendah daripada string gitar. Selain itu, frets bass juga dapat digunakan pada fingerboard. Pada frets bass, frets membahagikan fingerboard kepada semitone.”
Sambil calon vokalis itu menerangkan bahagian-bahagian bass tersebut, Azrizal memandang Shafik dan Iqbal. Cuba membaca reaksi dua temannya itu. Kedua-duanya kelihatan tekun dan memberikan sepenuh perhatian pada penerangan calon vokalis itu. Ketika di dalam kelas dahulu pun mereka tidak setekun itu!
Belum sempat Azrizal berkata apa-apa, calon vokalis itu sudah mula beralih pada dram pula lantas menerangkan nama bahagian-bahagian alat itu. “Dram pula terdiri daripada ride cymbal, floor tom, toms, bass drum, snare drum dan hi-hat.”
Apabila calon vokalis itu selesai menerangkan bahagian-bahagian gitar, bass dan dram itu, Shafik dan Iqbal memandang Azrizal. Daripada raut wajahnya, mereka pasti Azrizal sudah mula mengkagumi calon vokalis terakhir itu. Masakan tidak, mereka sendiri pun tidak pernah tahu nama bahagian dan fungsi-fungsinya!
Ternyata calon vokalis terakhir ini bukan calang-calang orang. Siapa dia sebenarnya? Namun dalam waktu yang sama, mereka juga pasti yang Azrizal tidak akan mudah menyerah kalah.
“Okey, sekarang ujian yang ketiga,” Azrizal masih cuba berlagak selamba. Mungkin dia tidak patut memperkecilkan kebolehan calon vokalis terakhir mereka ini. “Kau boleh pilih mana-mana alat muzik di sini dan mainkan satu lagu. Kita orang nak dengar.”
Tanpa banyak soal, calon vokalis terakhir itu membetulkan duduknya pada tempat duduk di dram memandangkan alat muzik itu yang paling hampir dengannya. Dia tersenyum memandang mereka, kemudian tangannya mula mengetuk-ngetuk peralatan dram itu menghasilkan satu irama. Bagaikan pemain dram profesional lagaknya.
“Selain dram, aku pun boleh main gitar.” Belum sempat Azrizal, Shafik dan Iqbal mencelah, dia sudah mencapai sebuah gitar dan memainkan sebuah lagu.
Azrizal, Shafik dan Iqbal berbalas pandangan. Dengan tiba-tiba sahaja ketiga-tiganya menjadi bisu seribu bahasa. Mereka benar-benar kagum dengan kebolehan calon vokalis itu. Dia bukan setakat hanya tahu teori tetapi juga amali!
“Jadi, macam mana? Adakah aku lulus ketiga-tiga ujian?” soal calon vokalis itu sambil tersenyum puas.
Shafik dan Iqbal berpaling ke arah Azrizal. Azrizal diam.
“KITA ORANG terima kau ini bukan sebab kau bagus sangat tapi sebab kita orang belum ada calon lain buat masa ini,” Azrizal masih cuba mempertahankan egonya. “Jadi, sebelum kita mulakan latihan, ada apa-apa soalan?”
“Ya, aku ada satu soalan. Apa nama kumpulan kau orang ni, ya?”
Azrizal, Shafik dan Iqbal berbalas pandangan sebelum akhirnya ketiga-tiganya tertumpu kepada vokalis baru mereka itu. Entah bagaimana mereka boleh terlupa tentang nama kumpulan mereka.
“Kugiran SMART,” balas Azrizal dengan yakin. Seolah-olah mereka sudah lama menggunakan nama itu. Lagipun, dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan vokalis baru mereka itu. Pasti vokalis baru mereka itu akan menggunakan kelemahan mereka untuk memperkecil-kecilkan mereka. Namun, mujur tiba-tiba sahaja nama itu terlintas di fikirannya.
“Hah?” Shafik dan Iqbal terkejut. Serentak kedua-duanya memandang ke arah Azrizal.
“Eh, sejak bila pula kita guna nama tu?” tanya Iqbal, namun pantas disiku oleh Azrizal. Iqbal mengaduh sakit. Lengannya yang disiku oleh Azrizal tadi digosok-gosok.
“Biar aku teka, SMART untuk SMK Abdul Rahman Talib?” tebak vokalis baru mereka itu.
“Kenapa? Ada masalah?” Azrizal menjawab soalan itu dengan soalan juga.
“Tak. Aku suka nama tu.”
“Bagus. Kalau macam tu, jom kita mula jamming.”
“Hmm... satu lagi.”
“Apa lagi?” Azrizal mula panas hati. Banyak tanya betul. Baru sehari masuk kumpulan ni, dah nak tunjuk lagak.
“Kugiran SMART ni ada Facebook tak? Blog ke?”
“My Space adalah. Itu pun My Space kita orang sendiri-sendiri saja,” Shafik yang bertanggungjawab dalam hal itu menyampuk.
“My Space? Apa kelas? Sekarang zaman Facebooklah,” tingkah vokalis baru mereka itu.
“Facebook?” Azrizal, Shafik dan Iqbal berbalas pandangan.
“Jangan kata kau orang tak ada akaun Facebook lagi.” Vokalis baru mereka itu merenung setiap seorang daripada mereka bertiga. Melalui cara pandangan mereka, memang sah mereka belum mempunyai akaun Facebook! Ketinggalan zaman betul. “Kau orang ni hidup zaman bila?”
“Alah, bukannya susah sangat nak buka Facebook tu. Nanti nanti kita orang buatlah,” Azrizal cuba menutupi kelemahan mereka.
“Kau orang ni macam tak ada perancangan saja,” komen vokalis baru mereka itu.
“Kau ada rancangan baik punya ke?” soal Azrizal dengan nada separuh perli.
“Kalau ada, kau nak dengar tak?” Vokalis baru itu dan Azrizal saling beradu pandangan. Hanya masing-masing yang tahu apa yang tersirat di hati. Shafik dan Iqbal pula cuma memerhati. Tidak berani mencampuri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan