Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Selasa, Disember 09, 2008

Cinta 'Kan Membawamu Padaku 19

Hani masih di situ menanti ketibaan penumpang dari Yogyakarta. Dia sudah tidak sabar untuk berjumpa kembali dengan Dimas. Mudah-mudahan segala kerinduannya akan berakhir pada hari tersebut. Tak sanggup lagi rasanya hati memikul rasa rindu yang saban hari semakin menebal. Tatkala itu Hani teringat akan bait lagu ‘Hanya Tuhan Yang Tahu’ dendangan kumpulan UNIC.

Di hati ini hanya Tuhan yang tahu. Di hati ini aku rindu padamu. Tulus sanubari menantikan hadirmu...

Hatinya berbunga riang apabila Farra memberitahunya yang Dimas akan pulang ke Malaysia pada hari itu.

“Hani, aku nak tanya kau sesuatu tapi kau kena cakap terus-terang,” kata-kata Farra itu membuatkan hatinya berdebar-debar.

“Apa dia?”

“Betul ke kau tak ada apa-apa perasaan pada Dimas?”

Apa Farra ni? Tiba-tiba aja tanya pasal ni.

“Kenapa tiba-tiba kau tanya pasal perkara ni?”

Kita tanya dia, dia tanya kita balik.

“Jawab soalan aku boleh tak?”

Hani diam.

“Hani, aku tanya ni,” Farra geram melihat Hani membisu.

Hani memandang Farra.

“Aku…”

Hani tidak tahu macam mana nak mula. Memang sejak ketiadaan Dimas, dia berasakan seperti ada sesuatu yang hilang dari dalam hidupnya. Dia rindukan suara itu yang sering membuatkan hatinya tenang. Dia rindukan canda itu yang sering membuatkan harinya bahagia. Separuh nafasnya seakan terbang bersama setelah pemilik senyum canda itu pergi meninggalkannya.

“Kalau kau memang tak suka dia, mesti awal-awal lagi kau dah jawab tak kan? Tapi kau tak jawab. Itu tandanya kau memang sukakan dia. Kenapa kau tak nak bagi tahu dia? Susah sangat ke nak mengaku?” marah Farra. Kerana sikap membisu Hani itu, banyak masa yang terbuang. Kalau dari awal Hani mengaku, mesti sekarang dia orang dah bahagia bersama.

“Aku takut, Far. Aku takut kecewa lagi,” luah Hani.

“Hani, setiap orang pasti pernah merasai kekecewaan. Terpulang kepada kita macam mana nak menangani rasa kecewa itu. Memanglah kita tak selalu dapat apa yang kita inginkan. Tapi sekurang-kurangnya kita dah berusaha. Hidup ini terlalu singkat untuk kita sia-siakan. Aku tak nak kau menyesal nanti. Aku tahu kau gembira dengan Dimas. Aku dapat rasa bila tengok kau dengan dia.”

“Habis, apa aku nak buat sekarang?”

“Kau bagi tahulah dia perasaan kau sebenarnya.”

“Apa gunanya aku bagi tahu dia sekarang? Dia dah balik negara dia. Mungkin dia takkan balik sini lagi. Dah seminggu dia kat sana. Satu mesej pun dia tak bagi.”

“Oh, jadi kau mengharap dia mesej kaulah?”

“Yalah. Sekurang-kurangnya bagi tahulah keadaan dia kat sana. Mak dia ok ke tak. Ni diam aja. Risau aku dibuatnya.”

“Mengaku pun yang kau suka kat dia.”

“Ya, aku memang suka kat dia! Puas hati kau?”

“Janganlah marah.”

“Tak marah. Geram!”

“Kau menyesal sebab tak bagi tahu Dimas perasaan kau yang sebenar?”

“Nak menyesal pun dah tak guna. Mesti dia dah bencikan aku.”

“Kalau dia balik sini lagi, kau nak jumpa dia lagi?”

“Kalau dia balik. Kalau dia tak balik?”

“Kau ni kan suka berfikiran negatif.”

“Itu kan kenyataan.”

“Ok, ok. Misal katalah, dia balik sini lagi. Kau nak jumpa dia?”

“Mestilah nak. Kalau dia balik sini, aku akan berterus-terang dengan dia. Aku takkan lepaskan peluang kedua tu macam tu aja.”

“Betul?”

“Betul, Far. Aku menyesal sangat sebab tak bagi tahu dia perasaan aku.”

“Jadi tak sia-sialah Dimas balik sini balik.”

Hani memandang Farra.

“Dia dah balik sini ke?”

“Belum. Tapi tadi aku jumpa Erwin. Dia cakap mungkin Dimas balik sini dalam dua hari lagi.”

“Betul ke, Far?”

“Betul. Buat apa aku nak tipu kau,” Farra cuba meyakinkan Hani. “Aku harap kau tak sia-siakan peluang kedua ni.”

Hani memeluk Farra kegembiraan. Terima kasih Tuhan kerana memberi aku peluang sekali lagi. Nescaya aku takkan persiakan.

Mana Dimas ni? Hani melihat jam di tangannya. Patutnya dah sampai. Hani memandang ke pintu balai ketibaan.

Hatinya berdebar-debar apabila mendengar pengumuman ketibaan penerbangan dari Yogyakarta. Hani memperkemaskan dirinya. Rambutnya disisih. Bajunya dibetulkan. Biar nampak terurus di hadapan Dimas nanti.

Hatinya melonjak girang sebaik-baik sahaja matanya menangkap wajah orang yang dinanti. Wajah yang dirinduinya sekian lama. Hani mendapatkan Dimas lalu tanpa segan dia memeluk lelaki itu.

“Aku sayangkan kau!”

Hani tersentak. Hani tersenyum sendiri mengenangkan bayangan yang bermain di mindanya sebentar tadi.

Ah! Nasib baik bukan betul-betul. Apa aku nak cakap dengan dia nanti?
Tiba-tiba saja jantungnya berdegup kencang. Tak tahu macam mana dia harus berdepan dengan Dimas. Senyuman terukir di bibirnya apabila melihat kelibat Dimas. Namun senyuman itu menjadi hambar apabila melihat seorang gadis yang beriringan dengan Dimas.

Siapa pula perempuan tu? Mesra nampak!

“Hani?”

Dimas memandang Hani lalu mendapatkannya.

Apa mimpi si Hani ni datang jumpa aku? Ah, perasan pula aku! Entah-entah dia tunggu kawan dia ke. Bukannya nak jumpa aku.

“Hani, kamu buat apa di sini?”

“Aku tunggu kaulah!”

Namun kata-kata itu tidak diluahkan pada Dimas.

“Aku hantar kawan tadi,” spontan kata-kata itu keluar daripada mulut Hani sambil matanya tidak berkelip memerhatikan gadis di sebelah Dimas.

Hantar kawan? Siapalah kawan kamu tu? Waktu aku pulang Yogyakarta dulu kau tak hantar pun. Lama aku menunggu tapi kamu tak datang. Aku kecewa tahu.
“Kawan mana?”

“Adalah. Kau tak kenal,” Hani masih memandang gadis itu.

“Oh ya. Han, kenalkan. Ini Mia,” Dimas memperkenalkan Hani kepada gadis yang bersamanya itu.

“Hello,” sapa gadis itu mesra. Mereka berjabat tangan. Hani tetap menguntum senyuman walaupun hatinya berasa sangsi akan hubungan Dimas dengan gadis itu.

“Dim, aku balik dululah,” Hani meminta diri. Lepas ni bolehlah kau orang habiskan masa berdua aja. Hani melangkah untuk pergi.

Hai baru jumpa aku dah nak balik? Takkan kau tak rindu langsung kat aku?

“Eh, Han! Janganlah pergi dulu. Jom kita minum sama,” pelawa Dimas. Mudah-mudahan dia mahu. Dapatlah aku melepaskan rindu.

“Tak mengganggu ke nanti?” soal Hani sambil mengerling Mia.

“Pastinya tidak,” balas Dimas. Aku lagi suka kalau kamu ada.


***


Hani berasa meluat melihat kemesraan Dimas dan Mia ketika mereka bertiga minum di sebuah gerai.

Macam mana aku boleh setuju ikut dia orang sampai sini? Menyesal aku ikut.
Hani memaki dirinya sendiri. Hatinya yang sakit bertambah sakit apabila dia terpaksa mendengar cerita-cerita Dimas dan Mia. Telinganya berasa panas mendengar canda tawa dan gurau senda mereka berdua.

“Hani, kenapa diam saja?” soal Mia apabila melihat Hani membisu sejak dari tadi.
Dah kau orang saja yang bercakap!

“Sebab tak ada apa yang nak dicakapkan.”

“Hani ini memang begini, Mia,” Dimas mencelah. “Agak pendiam. Tambahan pula dengan orang yang dia tidak biasa. Tapi kalau kamu sudah rapat dengan dia, boleh tahan ramahnya.”

Mia hanya tersenyum mendengar kata-kata Dimas.

Aduh! Senyumannya memang manis. Bisa menawan hati sesiapa sahaja yang melihat. Patutlah Dimas terpikat. Pandai bergaya lagi. Kalah model. Tapi aku?

Hani melihat keadaan dirinya dan membandingkannya dengan Mia kemudian mengalihkan perhatiannya pada Dimas.

Makin lama aku duduk sini makin sakit mata aku.

“Han, mahu ke mana?” soal Dimas apabila melihat Hani bangkit daripada kerusinya.
Jangan pulang dulu. Aku masih belum puas menatap wajah kamu. Dari tadi kamu asyik membisu. Susah benar mahu mendengar suara kamu. Tapi tidak mengapa. Biarlah tidak mendengar suara janji aku dapat melihat kamu.

“Aku nak pergi tandas kejap,” Hani tersenyum tawar lalu segera menghilang ke tandas.
Hani menolak pintu tandas itu dengan kasar. Melepaskan geram.

Kau ajak aku datang sini nak suruh aku tengok sandiwara kau orang ke? Macam aku tak wujud saja!

Hani membasuh mukanya kemudian merenung wajahnya di cermin. Tenang Hani, tenang. Hani menarik nafas. Menenangkan fikirannya.

“Mana Mia?” Hani hairan melihat Dimas sendirian apabila dia kembali ke meja.

“Sudah pergi.”

“Dah pergi?” Hani melabuhkan punggung ke kerusi. “Kau tak ikut sekali ke?”

“Kalau aku pergi, macam mana dengan kamu?”

Kalau aku pergi tak ada peluanglah kita nak duduk berdua-duaan macam ni.

Kalau kau pergi pun aku tak kisah. Macamlah aku tak tahu balik sendiri!

“Han, dah lama kita tak duduk berdua macam ni kan? Kamu tak rasa apa-apa ke?“ Dimas sengaja menduga Hani.

“Rasa apa?” tanya Hani acuh tak acuh.

“Yalah rasa sesuatu...?”

Hani cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh Dimas. Rasa apa entah. Berdua dengan dia buat aku rasa... Hani mula mengerti namun pura-pura tidak tahu.

“Yalah, aku rasa...”

Rasa apa Hani? Bilang saja kamu gembira dan bahagia sama aku!

Hani memandang Dimas.

“Aku rasa aku nak baliklah. Malas aku nak layan kau!” Hani mencapai begnya dan melangkah meninggalkan Dimas.

“Han mahu ke mana kamu? Aku belum selesai bicara!”

Menyesal aku tanya soalan tu. Dimas mengejar Hani.

“Hani!”


***


Sewaktu Hani pulang, Farra sedang leka mengadap komputer. Namun bunyi pintu dibuka menarik perhatiannya ke pintu.

“Haa…Dah balik pun. Macam mana?” Belum pun sempat Hani melabuhkan punggung, soalan itu diaju. Matanya mengiringi langkah gadis itu yang telah pun merebahkan tubuhnya ke katil. Soalannya masih tidak dijawab.

“Hani, aku tanya ni. Macam mana?” Farra mengulangi pertanyaannya.

“Macam mana apa?” Hani pura-pura tidak mengerti. Malasnya aku nak cakap pasal Banda ni lagi. Buat sakit hati aja!

“Kan kau pergi jemput Dimas kat airport tadi. Kau dah cakap dengan dia ke belum?” Hani mengeluh kemudian menggeleng. “Kenapa kau tak cakap? Sampai bila kau nak pendam perasaan kau tu?”

Semalam beria-ria kata tak nak sia-siakan peluang kedua ni. Alih-alih tak cakap juga. Apa yang difikirkan minah ni?

“Memang aku nak cakap tadi tapi tak boleh.”

“Kenapa pula tak boleh?”

Farra hairan.

“Sebab dia dah ada girlfriend,” ujar Hani. Hatinya sakit apabila mengingati kemesraan Dimas dengan Mia di gerai tadi. Mungkin juga cemburu.

“Dia beritahu kau ke?”

“Tak.”

“Habis tu mana kau tahu dia ada girlfriend?”

“Aku sendiri jumpa perempuan tu. Bukan main mesra lagi. Berbual sampai lupa dunia. Dia orang buat seolah-olah aku ni tak wujud kau tahu tak?”

Geramnya aku! Mungkin memang aku dengan Dimas dah ditakdirkan takkan bersama.

“Aku simpati dengan kau,” Farra menepuk bahu Hani. “Habis tu apa kau nak buat sekarang?”

“Buat bodoh sajalah!” Getus Hani. Marahnya masih belum reda. “Dahlah, Far. Aku nak mandi.”

“Eloklah tu. Kau dah makan? Kalau kau nak, aku boleh masakan mi.”

“Tak apalah, Far. Aku dah kenyang,” Hani mencapai tualanya dan berlalu ke bilik mandi. Di bilik mandi, dia tidak berhenti daripada mengingati Dimas.

Sia-sia saja aku menunggu kau seminggu ni! Ini yang kau buat pada aku! Mulai hari ini dan saat ini, aku takkan ambil tahu hal kau lagi!

Tubuhnya terasa segar selepas mandi. Dia cuba mengosongkan mindanya dan melelapkan mata. Namun matanya seakan enggan lena. Sudah puas dia memujuk matanya agar dia bisa tidur. Sayangnya matanya masih juga tidak mengantuk.

Hish…kenapalah susah sangat nak tidur ni?

Hani membetulkan posisi badannya. Sekejap dia mengiring ke kanan. Kemudian ke kiri. Menelentang. Keresahan mula merajai dirinya. Ah!

Hani bangkit dari katilnya. Lampu mejanya dipasang. Air mineral di atas meja dituangnya ke dalam cawan. Tekaknya sedikit lega apabila minuman itu melalui kerongkongnya. Dia menopang dagu.

“Hani, kau buat apa?”

Farra melihat jam di dinding. Sudah hampir empat pagi. Cahaya lampu di meja Hani membuatkan lenanya terganggu.

“Aku dahaga tadi,” ujar Hani.

“Jangan tidur lambat sangat. Esok kelas pagi,” pesan Farra sebelum dia kembali menyambung tidurnya.

Senangnya dia tidur. Hani cemburu melihat Farra yang sudah lena dibuai mimpi. Apa kena dengan aku ni? Kenapa susah sangat nak tidur ni? Macam mana nak bagi mata mengantuk?

Tiba-tiba matanya tertancap pada sebuah novel yang tersusun bersama buku-bukunya yang lain di atas meja itu. Tangannya lantas mencapai novel tersebut. Baik aku membaca. Mata kan mudah mengantuk kalau membaca.


***


“Pukul berapa kau tidur semalam?” Farra menghulurkan minuman kepada Hani ketika mereka duduk di kafeteria selepas kelas.

“Aku tak pastilah. Dalam pukul enam agaknya.”

Hani menjamah minumannya. Rasa mengantuknya masih belum hilang. Kepalanya seakan berpina-pina.

“Itulah. Siapa suruh tidur lambat? Lepas tu mulalah tersenguk-senguk dalam kelas. Nasib baik pensyarah tu tak marah kau dalam kelas.”

Membebel pula minah ni. Kepala aku dahlah sakit ni. Tambah lagi sakit kepala aku. Hani memicit-micit kepalanya.

“Hai, Han, Far!” Erwin dan Andin mengambil tempat di meja Hani dan Farra.

“Han, mata kamu kenapa?” tegur Erwin.

“Kamu tidak tidur semalam?” tanya Andin pula.

“Dia mimpi seram semalam,” celah Farra.

“Mimpi apa?” soal Erwin ingin tahu. Pastinya mimpi itu sangat menyeramkan hingga mengganggu tidur gadis itu.

“Putera idamannya dibawa lari oleh seorang pontianak yang cantik,” seloroh Farra punya makna tersembunyi.

“Terus kenapa tidak direbut kembali?” soal Erwin lagi.

“Macam mana nak rebut kalau putera idamannya itu nak ikut pontianak cantik tu juga,” ujar Farra tanpa diketahui oleh Erwin dan Andin bahawa cerita itu hanya rekaan Farra.

Hani mengerling Farra. Marah dengan cerita rekaan Farra itu. Pandai-pandai aja buat cerita!

“Owh...kalau begitu, cari aja putera yang lain,” cadang Erwin. “Kumbang kan bukan seekor. Masih banyak yang lainnya.”

“Memanglah kumbang bukan seekor, tapi si Hani ni degil. Kalau dia dah suka dengan kumbang tu, kumbang itu jugalah yang dia nak,” terang Farra.

“Maknanya Hani ini orang yang setia ya. Untung siapa jadi pacar Hani. Pasti tidak cari yang lain,” ujar Andin pula.

“Tapi masalahnya sekarang, orang yang dipujanya itu udah cari yang lain,“ Farra cuba berbahasa Indonesia.

Hani menyiku Farra.

Makin menjadi-jadi pula minah ni bercakap. Buatnya terbongkar rahsia nanti. Aku juga yang malu.

“Win, Din, mana yang lain?” tanya Farra. Sebenarnya nak menanyakan perihal Dimas tapi tak naklah nampak sangat kan.

“Armand kerja. Sukry ada kelas. Dimas...” Andin menyiku Erwin. “Si Dim ke mana ya, Win?”

“Tak tahu. Katanya mahu jumpa seorang teman. Apa namanya? Mia?” Erwin cuba mengingati nama yang disebut oleh Dimas semalam.

Mia lagi? Baru semalam jumpa, hari ni jumpa lagi? Betul ke Dimas bercinta dengan dia? Padanlah muka kau Hani. Dulu orang tu nak, kau jual mahal. Hani mengutuk dirinya sendiri.

“Siapa Mia tu? Girlfriend baru Dimas ke?” Farra bertanya bagi pihak Hani.

“Entah. Dimas tak cakap apa-apa. Tapi malam-malam dia selalu main SMS. Senyum-senyum sendiri. Bukan dengan kamu, Han?” ujar Erwin sambil menjeling Andin dengan rahsia tersirat.

Hani menggeleng. Sudah agak lama dia tidak bermain S.M.S dengan Dimas. Dimas pun dah lama tak kirim S.M.S.

Maklumlah orang dah ada girlfriend. Tapi kenapa Mia? Si Dimas tu pun satu! Kenapa dia tak boleh tunggu lama sikit? Mudah benar dia berubah hati. Nampak sangat dia tak bersungguh dengan aku. Bagus juga aku tahu perangai dia sekarang. Tapi kenapa hati aku semakin sakit mendengar cerita Erwin.

Cerita Erwin dan Andin lagi, Dimas sudah jarang-jarang lepak dengan mereka. Setiap hari keluar hilang entah ke mana. Tak ada lainlah tu. Mesti keluar dengan Mia. Pernah sekali dia ternampak seorang gadis menjemput Dimas di kolej. Bila diamati dia yakin bahawa gadis itu adalah Mia. Hani semakin runsing memikirkan perkara itu.

“Kau cemburu ya?” soal Farra sejurus Erwin dan Andin meminta diri untuk pulang.

“Ah, tak kuasa aku nak cemburu! Lantak dialah nak ada girlfriend ke, nak kahwin ke. Apa kena-mengena dengan aku?” Hani mengetap bibir.

Tapi memang aku cemburu. Sakitnya hati aku. Hish kenapa dengan aku ni? Cowok Jodja tu pun aku boleh suka. Bukan ke aku cukup anti dengan orang Indonesia sebelum ni? Mana pendirian aku selama ini? Ala...setakat lelaki macam Dimas tu merata aku boleh cari. Dahlah selekeh, kurus kering pula tu. Arri pun lagi kemas daripada dia.
Ops...kenapa aku kaitkan Dimas dengan Arri? Walaupun Dimas tu selekeh tapi dia lebih baik daripada Arri.

Tiba-tiba rasa menyesal hinggap dalam diri Hani. Dulu dia yang selalu menjauhkan diri. Sekarang Dimas pula yang menjarakkan diri. Seolah-olah ada jurang besar yang terbentang antara mereka berdua.

Sudah beberapa hari dia tidak berjumpa dengan Dimas. Dalam jangka waktu itu dia sudah berusaha melupakan lelaki itu. Menyibukkan diri dengan buku-buku, berkepit dengan komputer. Buat apa nak berhabis waktu mengharap pada benda yang tak berpenghujung? Biarlah dia bahagia dengan pilihannya sendiri. Kalau dia bahagia, aku pun tumpang gembira. Tapi aku tak gembira! Aku rindukan dia. Aku tak sanggup tengok dia jadi milik perempuan lain. Kalaulah masa boleh diputarkan kembali...

Tiada ulasan: