Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Disember 22, 2008

AsyrAfia 12

“Sayang M.I.X. or sayang Sheila on 7? Hah! Jawab Jawab!”

Afia tersenyum membaca ayat itu di ruangan comment di profil My Spacenya. Tak sangka Noh yang memberikan komen kepadanya dulu sedangkan dia yang add Noh dulu. Dengan senang hati, Afia membalas komen Noh itu.

“M.I.X. dalam negara. Sheila on 7 pula luar negara punya. Hehe…” Sebaik-baik sahaja menaip ayat itu, Afia mengklik perkataan ‘post comment’.

Entah macam mana tangannya tiba-tiba gatal membuat profil di laman web itu beberapa hari yang lalu. Akhirnya dia terpengaruh juga dengan ‘desakan’ Adi dan Julia untuk mendaftar di laman web yang menjadi kegilaan muda mudi sekarang.

Malah sebelum dia add profil peribadi Noh, Afia juga sempat berbalas mesej dengan Noh yang menggunakan profil M.I.X. Ternyata Noh memang ramah dan rajin menjawab setiap pertanyaannya walaupun ada kalanya pertanyaan itu hanya sekadar soalan remeh. Dan kerana itu tanpa sedar, hatinya mula terpaut dengan M.I.X. terutamanya Nohlah.

Sejak berkawan dengan Noh di My Space juga, Afia mula berminat dengan loghat Sarawak memandangkan Noh dan M.I.X. berasal dari negeri itu. Perlahan-lahan, Afia semakin teruja ingin mengetahui segala-galanya yang berkaitan dengan Sarawak.

Jika dahulu Afia kerap menonton drama Indonesia gara-gara penangan Sheila on 7, sekarang pula Afia lebih berminat pada rancangan TV yang berkaitan dengan Sarawak. Baik rancangan dokumentari mahupun program khas mengenai Negeri Bumi Kenyalang seperti Pesta Gawai semuanya pasti mencuri perhatian Afia!

Gara-gara M.I.X. juga, Afia menjadi pendengar setia X-Fresh, satu-satunya stesen radio tempatan yang memutarkan seratus peratus muzik Malaysia memandangkan stesen radio itu kerap memainkan lagu-lagu M.I.X.

Setelah mendengar sendiri, Afia mula mengakui yang muzik Malaysia masih mempunyai karya-karya yang bagus cuma kurang diketengahkan oleh stesen-stesen radio lain. Ekoran itu, Afia semakin terpikat dengan muzik Malaysia dan mula mengenali nama-nama yang sebelum ini kedengaran asing di telinganya. Antaranya Syuga, Doul, Khadeeja, Bau, Sad Angry Babies dan Sixth Sense.

Selain itu, juruhebah X-Fresh yang happy go lucky dan gila-gila turut menarik minat Afia untuk terus setia dengan siaran radio itu. Gaya penyampaian mereka yang santai dan bersahaja memang sesuai dengan golongan sasaran radio itu sendiri yakni remaja.

“Radio apa yang kau dengar ni, Afia?” rungut Julia tatkala dia bertandang ke bilik Afia pada petang itu. Lagu yang berkumandang di ruang udara radio itu terasa membingitkan telinga. Muziknya keras. Liriknya sepatah pun dia tak dapat tangkap. Entah apa-apa.

Afia baru sahaja hendak mandi ketika Julia sampai. Petang itu mereka telah berjanji dengan Adi dan Rizal untuk berjumpa di bilik suntingan bagi melakukan kerja-kerja penyuntingan projek Broadcast Production mereka.

“X-Fresh,” balas Afia pendek lalu segera berlalu ke bilik mandi. Takut-takut kalau Julia bertanya macam-macam.

“Sejak bila pulak kau dengar X-Fresh?” soal Julia pelik.

Tu kan? Malas betul nak jawab. Takkan aku nak cakap aku dengar X-Fresh sebab M.I.X.? Malu aku kalau Julia tahu.

“Saja. Nak tukar angin. Tak boleh?” Afia berlagak selamba. Suka hati akulah. Tukar siaran radio pun nak jadi isu besar ke?

“Bukan tak boleh tapi macam tiba-tiba aja. X-Fresh kan tak main lagu Indonesia. Kenapa kau dengar pulak? Ni mesti ada apa-apa ni,” Julia mula mengesyaki sesuatu. Tiba-tiba dengar radio lain. Takkan dah bosan dengar lagu Indonesia kut?

“Ada apa apanya? Dahlah, malas aku layan kau. Aku nak mandi ni.”

“Baru nak mandi? Dah pukul berapa ni?” Julia melihat jam digital di telefon bimbitnya. Dah pukul dua setengah pun tak mandi lagi?

“Ala… mandi awal-awal pun nak buat apa? Kata nak jumpa pukul tiga kan?” balas Afia. Mandi pagi-pagi pun, lepas tu petang peluh balik. “Aku mandi dulu. Kau bacalah majalah atas meja tu dulu.”

Afia, Afia… Dari dulu memang tak berubah. Kalau tak ada kelas ataupun tak pergi ke mana-mana, Afia memang takkan mandi awal-awal. Kalau tak ada program satu hari, alamatnya satu hari suntuklah dia tak mandi.

Julia mencapai majalah hiburan di atas meja. Rajin pula minah ni beli majalah. Ada Sheila on 7 ke?

Julia tahu Afia takkan membeli majalah hiburan tanpa sebab. Jika sesebuah majalah itu tidak ada cerita mengenai Sheila on 7, jangan haraplah Afia nak beli majalah. Tapi rasanya tak ada pulak Afia menyebut tentang kedatangan Sheila on 7 ke Malaysia baru-baru ni.

Ah, kalau pasal Sheila on 7, cerita belum keluar kat suratkhabar ataupun majalah pun Afia tahu dulu. Yalah, Afia kan pendengar setia rancangan carta lagu-lagu Indonesia di Red 104.9 tu. Selain memutarkan lagu-lagu terkini di Indonesia, rancangan itu turut memberikan berita-berita terkini mengenai perkembangan industri muzik dan perfileman di negara itu.

Julia membelek-belek isi kandungan majalah hiburan itu sementara menunggu Afia bersiap. Namun dia hanya melihat gambar memandangkan tiada satu cerita pun yang menarik minatnya. Semuanya hanya berkisahkan gosip cinta dan cerita-cerita artis baru yang kebanyakan bakatnya dicungkil daripada program realiti TV.

Hampir setiap tahun, ada-ada sahaja artis baru yang lahir daripada program seumpama itu sehingga ada yang mengatakan kebanjiran mereka di dalam industri muzik ibarat mi segera. Belum pun ada album, nama mereka sudah dikenali satu Malaysia. Ada artis yang bekerja keras bertahun-tahun pun payah nak naik.

Tidak dinafikan, ada jugak artis yang lahir dari program realiti TV sebegini yang benar-benar berbakat seperti Jaclyn Victor, Dina, Zahid, Faizal Tahir dan Stacy tetapi jumlahnya boleh dibilang dengan jari. Berapa orang sahaja yang berjaya dalam karier masing-masing selepas tamatnya program itu?

Dari sudut ilmu ekonomi pula, kemunculan mereka yang umpama cendawan tumbuh selepas hujan mungkin menyebabkan kuantiti penawaran melebihi kuantiti permintaan. Jika jumlah penawaran melebihi jumlah permintaan, maka akan wujudlah lebihan penawaran. Tak faham? Maksudnya macam ni.

Jika kuantiti barang yang kita jual melebihi kuantiti barang yang pelanggan kita beli, jadi barang itu akan ada lebihan bukan? Siapa pulak nak beli barang yang lebih tu sedangkan semua sudah dapat bahagian masing-masing? Apa kesannya lebihan itu? Tak ke rugi namanya tu? Ketuk kepala, tanya akal!

Namun dalam kes ini, ‘lebihan’ itu bukannya barang tetapi manusia. Manusia yang mempunyai akal untuk berfikir. Justeru, bagi mereka yang tergolong dalam kategori ‘lebihan’ itu, mereka juga boleh berjaya sekiranya mereka bijak mengambil peluang. Jadi tidak hairanlah apabila ada di antara mereka yang beralih ke cabang seni lain seperti lakonan, pengacaraan dan menjadi juruhebah radio.

“Eh, ni bukan Adi Fashla AF tu ke?” Julia bertanya kepada Afia yang baru sahaja keluar dari bilik mandi.

“Dialah tu,” Afia sudah lengkap berbaju di dalam bilik mandi tadi.

Afia ni memang pemalu orangnya. Kalau bebudak perempuan lain tak segan silu berkemban di hadapan sesama sendiri, Afia tak. Jadi, dia akan bawak pakaian siap-siap ke dalam bilik mandi setiap kali mandi. Afia juga tak biasa pakai seluar pendek mahupun baju tanpa lengan di asrama. Dia lebih selesa memakai T-shirt dan seluar track.

“Dah jadi DJ pulak.”

“Ala… ramai bebudak AF yang jadi DJ. Nana, Burn, Reza…”

“Tapi oklah kan kalau pandai bercakap. Haa, entah-entah kau dah sangkut dengan salah seorang DJ X-Fresh tak? Sebab tu kau dengar X-Fresh kan?” Julia masih belum berpuas hati dengan perubahan citarasa Afia yang dirasakan agak mendadak dan secara tiba-tiba.

“A’ah. Bukan sorang tapi semua,” balas Afia geram. Dah orang kata tak ada apa-apa tu tak adalah. Nak jugak tahu.

“Ala… Afia, bagi tahulah aku,” Julia mendesak.

“Yang kau beria-ria nak tahu ni kenapa?”

“Sajalah. Aku kan kawan kau. Mestilah aku nak tahu siapa yang bertakhta di hati kawan baik aku yang sorang ni.”

“Bukan kau dah tahu?”

“Maksud aku, selain Sheila on 7.”

“Dahlah. Jom. Dah nak pukul tiga ni,” Afia mengingatkan Julia tentang janji mereka dengan Adi dan Rizal di bilik suntingan.

“Rilekslah. Macamlah dia orang tu on time,” Julia masak benar dengan perangai dua sahabat mereka yang tak pernahnya menepati masa tu.

“Sambil tunggu dia orang, kita boleh minum dulu ke,” cadang Afia.

“Nak minum kat mana? Hah! Kau nak jumpa Sukry ya?”

“Tolong sikit ya. Macamlah tak ada kedai makan lain kat Puncak ni?”

“Memanglah kedai makan kat Puncak ni banyak tapi manalah tahu kedai makan yang satu tu lebih best. Maklumlah boleh makan free.”

“Kalau nak makan free, kat dining pun bolehlah.”

“Tapi dining mana bukak lagi sekarang.”

Ya tak ya jugak. Baru pukul tiga. Dining bukak pukul enam setengah. Nampak gayanya terpaksalah aku jumpa mamat Indonesia tu jugak.

Afia mencapai wallet, handphone dan kunci bilik di atas meja. Tiga benda yang wajib dibawa setiap kali keluar.

“Jom!”

“Pergi mana?” Julia terpinga-pinga.

“Pergi makan free!”


***


“Kan aku dah kata dia orang tu mesti lambat punyalah,” Julia dan Afia melepak di kafe fakulti sementara menunggu kedatangan Adi dan Rizal.

Afia diam. Menjawab tak. Mengangguk ataupun menggeleng pun tak. Tatkala itu, dia lebih berminat dengan kueh tiew goreng di hadapannya. Sejak pagi tadi, dia hanya memakan Maggi yang dimasak dengan air panas.

Maggi dengan pelajar asrama memang tak boleh dipisahkan. Walaupun pihak asrama sudah menyediakan makanan percuma di dewan makan, namun mi segera tetap jugak laku. Setiap hari, mi segera di koperasi kolej pasti habis.

Nak buat macam mana? Itulah makanan segera yang cepat dan mudah dimasak memandangkan pelajar asrama tidak dibenarkan membawa dapur. Takkan nak goreng nugget guna air panas kan?

“Dia orang ni memang nak kena,” Julia memicit-micit punat di telefon bimbitnya mencari nama Adi.

“Tak payahlah kau bazir kredit. Tu haa dia orang.”

Julia memandang ke arah yang ditunjukkan oleh Afia. Adi dan Rizal menghampiri mereka.

“Hai, sempat lagi makan?” Adi melabuhkan punggung di sebelah Afia.

“Kalau dah dekat setengah jam tunggu kau orang, jangan kata makan, melantak pun sempat tahu tak?” marah Julia.

“Kalau macam tu, aku pun nak makanlah. Nampak sedap aja kueh tiew Afia ni,” Rizal terliur melihat Afia makan dengan penuh berselera.

“Dah, tak payah. Siapa suruh kau orang lambat? Kalau macam ni, pukul berapa nak mula kerja?” Julia membantah.

“Ala… sekejap aja. Kalau perut lapar, aku tak boleh buat kerja,” Rizal memberi alasan.

“Tak payah aku kata,” Julia berkeras.

“Kau beli bawak naik ataslah,” cadang Afia.

“Mana boleh. Kita kan tak boleh makan dalam bilik editing tu. Buatnya si Rahman tu nampak, mampus kita tau,” balas Rizal.

“Janganlah bagi dia nampak.”

“Kalau polistrin tu besar gabak macam tu mahunya dia tak nampak?”

“Macam mana dia nak nampak kalau kita letak dalam beg?”

Serentak Adi, Julia dan Rizal memandang Afia.

Tiada ulasan: