Silalah LIKE kalau sudi :)

Pengerah Jemari

Nota Penulis

Kalau kau orang nak beli novel Budak SMART, Pemuja Rahsia atau Kugiran SMART, bolehlah e-melkan pesanan kau orang kepada ilmia85@gmail.com berserta nama dan judul novel yang ingin dibeli.

Isnin, Oktober 05, 2009

AsyrAfia 16

“Afia, bangun!” suara lembut itu mengejutkannya dari tidur.

Afia menarik selimut. Kacaulah orang nak tidur. Ingatkan boleh tidur lama sikit selepas semalaman dia tidak tidur gara-gara menyiapkan projek MP3 subjek Multimedia Production. Memandangkan dia tidak ada laptop, maka dia terpaksa menebalkan muka meminjam laptop kawan serumahnya yang juga merangkap kawan sekelas.

Apabila namanya pinjam, maka dia terpaksa menggunakan laptop itu pada waktu kawannya sedang tidur. Memandangkan pada waktu itu saja kawannya tidak menggunakan laptop. Kadang-kadang susah juga tinggal dengan bebudak kelas sendiri. Mestilah assignmentnya sama dan tarikh hantar pun sama. Jadi, terpaksalah dia mengorbankan waktu tidurnya.

Susahnya tak ada laptop ni. Kalaulah aku ada kereta, dah lama aku angkut komputer kat rumah tu bawak sini. Kalaulah ayah aku macam ayah orang lain kan bagus. Mesti dah lama ayah tawarkan nak hantar aku ke kolej masa hari pendaftaran hari tu.

Afia dan ayahnya memang tidak sebulu apatah lagi apabila Afia membantah arahan ayahnya untuk ke kolej matrikulasi. Lantaran Afia berkeras nak masuk universiti, ayahnya nekad tidak akan menanggung pengajiannya mahupun mengambil tahu kehidupannya di universiti. Dia juga dilabelkan sebagai anak derhaka. Afia pula bertekad tidak akan bergantung pada duit ayahnya.

Afia bukan seperti anak gadis pada zaman dulu. Yang hanya menurut tanpa membantah walaupun jiwa merana. Afia tidak rela jadi begitu. Jika tidak mahu, maka dia akan memberitahu bak lirik lagu Agnes Monica, 'bilang saja bila kau mahu, bilang saja bila tak mahu'. Habis cerita. Ini tidak, kebanyakan orang lebih suka mengenepikan hasrat sendiri demi membahagiakan orang lain. Bagi Afia, dia tidak semulia itu. Lebih baik puaskan hati sendiri dulu.

“Afia, bangun. Air tak ada,” ujar suara itu lagi.

Air tak ada? Habis tu?

“Bangunlah. Nanti orang ramai.”

“Ala… Tak payah pergi kelaslah,” Afia kembali menutup mata. Asyik tak ada air saja. Pihak kolej tak bayar bil ke?

“Hisy… ada pulak tak payah pergi kelas? Bangunlah, Afia!”

Dengan mata yang masih mamai, Afia bangkit duduk di atas katilnya dengan rasa malas. Dia menggaru-garu kepalanya. Tangannya mencari-cari telefon bimbitnya yang entah di mana. Apabila dapat, dia melihat jam yang tertera di skrin telefon bimbit itu.

Baru pukul enam. Kelas pukul lapan. Yang bangun awal sangat ni kenapa? Afia kembali merebahkan tubuhnya ke katil namun dia tersentak apabila teman sebiliknya menegahnya daripada berbuat demikian.

“Jangan tidur. Bangun! Jom cepat. Nanti orang ramai,” ujar teman sebiliknya itu.

Selepas beberapa kali asrama mereka tak ada air, mereka sudah tahu ke mana yang harus mereka tuju. Blok 6! Kebiasaannya, blok itu ada air. Makanya, di keheningan pagi itu, Afia dan teman sebiliknya berjalan ke blok 6 dengan membawa tuala mandi dan barang-barang keperluan lain seperti berus gigi, mandian dan baju persalinan.

Setibanya di blok 6, sudah ramai pelajar yang beratur menunggu giliran. Ada yang sedang bersiap-siap selepas mandi, ada yang tidur sementara menunggu giliran dan ada juga yang membawa baldi untuk menadah air.

“Fuyoo...ramainya orang,” rungut Afia. Ini yang membuatkan dia malas hendak mandi. Ala...mesti semua budak kelas aku tak mandi. Tambah-tambah budak lelaki. Takkan rajinnya dia orang nak cari air sampai ke blok 6 ni. “Nak mandi juga ke?”

“Yalah. Habis, takkan nak pergi kelas dengan tak mandi? Kau sanggup ke? Jatuhlah saham,” balas teman sebilik Afia.

“Ala... kalau satu kolej Puncak Perdana ni tak ada air, mestilah semua tak mandi. Jadi, semuanya sama saja. Nak malu buat apa? Lagipun, ramai orang ni. Sempat ke?”

“Kalau kita cuma berdiri kat sini dan tak beratur, memanglah tak sempat,” teman sebilik Afia menarik tangannya ke dalam barisan.


**********


Suasana di kelas itu kecoh seperti pasar borong tatkala kakinya menapak di kelas itu. Nampak gayanya semua budak kelasnya sudah sampai kecuali dia! Mana tidaknya, dia sudah terlewat hampir 30 minit lantaran berbaris panjang di blok 6 tadi.

Semuanya gara-gara teman sebiliknya yang berkeras hendak mandi juga. Kalau diikutkan hati, dia lebih rela tidak mandi daripada lewat ke kelas!

Eceh...macam tak biasa datang lewat! Tapi kalau setakat lewat lima ataupun sepuluh minit itu tidak mengapalah. Ini sampai 30 minit! Memang kes naya.

Afia menjenguk ke kelas itu. Semua kawan-kawannya kelihatan tekun memandang ke hadapan kelas. Aisey... Puan Raja dah ada ke? Malulah pula nak masuk. Ngomel hati kecil Afia. Nak masuk ke tak ni? Afia mundar-mandir di luar kelas.

Sedang Afia berkira-kira sama ada hendak masuk ke kelas itu ataupun tidak, tiba-tiba bahunya ditepuk dari belakang.

“Oh, mak!” Afia berpaling.

“Sejak bila kau melatah ni?” Julia tertawa geli hati melihat reaksi Afia. Afia cuma mencebik tanda tidak puas hati. “Kenapa kau tak masuk?”

“Aku takut. Nanti aku kena duduk depan,” ujar Afia. Satu kelas sudah tahu hukumannya jika mereka tiba lewat ke kelas Malaysian Contemporary Issues yang diajar oleh Puan Raja itu. Barisan hadapan akan dikosongkan bagi memberi penghormatan kepada ratu ataupun raja lewat kelas.

Kalau setakat duduk depan tidak mengapa. Ini tidak. Selain diberi penghormatan duduk di barisan hadapan, ratu ataupun raja lewat juga akan diserang dengan soalan-soalan yang mencabar minda separa sedar mereka memandangkan masing-masing masih dalam keadaan mamai pada waktu pagi begitu.

Sungguh dia lebih rela melepaskan gelaran ratu ataupun raja yang selalunya akan menjadi idaman setiap orang itu!

“Nak takut apa? Puan Raja belum datang lagilah.”

“Mana kau tahu?”

“Aku tahulah. Aku datang awal daripada kau.”

Melihat Julia yang sehelai sepinggang itu, Afia dapat mengagak yang Julia mungkin saja baru tiba dari tandas. Siapa tak kenal Julia? Ratu tandas. Pantang jumpa tandas. Entah apalah yang dibuatnya di dalam tandas itu?

“Habis, apa yang dia orang khusyuk sangat tengok tu?” Afia menjenguk ke dalam kelas. Hairan.

“Kalau kau nak tahu, jomlah masuk.”

Afia membontoti Julia ke dalam kelas. Segera matanya dihala ke hadapan kelas. Mulutnya ternganga sebaik-baik saja melihat ke hadapan kelas. Laa… sejak bila pula silibus Malaysian Contemporary Issues ada tentang Spongebob ni? Rupa-rupanya kawan sekelasnya sedang khusyuk menonton video Spongebob.

Pelik juga jika mereka ketawa di dalam kelas Puan Raja. Puan Raja bukannya reti buat lawak. Serius saja sepanjang masa.

“Kenapa kau lambat?” tanya Julia sebaik-baik saja Afia mengambil tempat di sebelahnya.

“Aku ikut roommate aku pergi mandi kat blok 6. Ramai sangat orang,” balas Afia.

“Hai, rajin pula kau pergi sampai ke blok 6 semata-mata nak mandi.”

Roommate aku tulah. Ju, dah setengah jam ni. Puan Raja tak datang pun. Kelas batal ke?”

“Entah.”

“Puan Raja! Puan Raja!” suatu suara menjerit dari arah pintu. Justeru, orang yang bertanggungjawab memasang video Spongebob itu segera mematikan tayangan di LCD yang biasanya digunakan untuk mempamerkan nota dari komputer. Lantas masing-masing berpura-pura membuat hal sendiri sementara menantikan ketibaan pensyarah yang digeruni itu.

Bunyi tapak kasut bertumit tinggi itu semakin hampir. Semua mata terarah ke pintu. Namun semuanya bagaikan terpukau apabila orang yang dinanti muncul di muka pintu. Bukan Puan Raja yang muncul tetapi puteri raja!

“Ini kelas Puan Raja kan?” soal gadis itu.

Namun soalannya tidak berjawab. Masing-masing seolah-olah kehilangan kata-kata apabila menatap wajah lembutnya itu. Gadis itu dilanda kehairanan.

“Ya,” ujar suatu suara. Afia cuma menggeleng melihat situasi itu. Lelaki memang lemah apabila melihat perempuan cantik.

“Puan Raja ada hal kecemasan. Jadi, dia mintak saya sampaikan pesan. Kelas hari ni batal dan akan diganti pada minggu depan. Nanti dia akan SMS ketua kelas,” tambah gadis itu.

“Okey, terima kasih,” balas Afia.

Bayang gadis itu menghilang namun kawan-kawan sekelasnya masih lagi melopong sehinggalah disergah oleh Afia.

“Hoi!”


**********


“Hujung minggu ni kau orang buat apa?” tanya Afia kepada Adi, Julia dan Rizal ketika mereka melepak di perpustakaan bagi mencari bahan untuk tugasan mereka selepas diberitahu kelas Malaysian Contemporary Issues dibatalkan.

Memandangkan bilik IT sudah penuh, mereka duduk di bahagian suratkhabar dan majalah yang berdekatan dengan pintu masuk perpustakaan. Sambil membelek suratkhabar dan majalah, mereka berbual-bual kosong.

“Tidur kut,” balas Adi sambil tangannya menyelak suratkhabar pada hari itu bagi mengetahui perkembangan semasa.

“Apalah tidur,” Afia tidak berkenan dengan jawapan Adi.

“Habis, kau ada plan baik punya?” soal Adi pula.

“Mestilah ada,” Afia tersenyum sendiri.

“Apa?” Adi, Julia dan Rizal bertanya hampir serentak.

“Jom kita pergi pesta?”

“Pesta apa? Pesta Malam Indonesia?” soal Adi sekadar menduga. Setahunya, Afia bukan gadis yang suka berpeleseran tidak tentu hala.

Walaupun Afia minat gila dengan kumpulan Sheila on 7 tetapi tidak pernah sekali pun dia ke konsert band itu apabila mereka mengadakan konsert di Malaysia. Dia lebih rela menonton konsert mereka di televisyen daripada bersesak-sesak dalam lautan manusia itu.

Jangankan konsert, panggung wayang pun Afia tidak pernah jejak! Setiap kali diajak oleh kawan-kawannya, Afia akan memberi seribu satu alasan. Salah satu alasannya, ibunya tidak membenarkannya masuk ke dalam panggung wayang atas alasan panggung wayang itu tempat tidak elok. Tempat maksiat!

“Bukanlah. Ni pesta bersih,” ujar Afia.

“Kat mana?” Rizal menyampuk.

“PWTC.”

“Kena bayar berapa?”

“Percumalah.”

“Percuma? Tak payah bayar?”

“Iya.”

“Eh, kalau macam tu aku pun nak ikutlah. Bila?” Julia juga seakan berminat dengan pesta yang disebut oleh Afia. Sesekali enjoy apa salahnya.

“Mulai hari Sabtu ni sampai Ahad depan.”

“Seminggu? Pesta apa tu?”

“Pesta bukulah.”

“Cis... ingatkan pesta apa. Bosanlah,” Rizal terus hilang minat.

“Ala... jomlah temankan aku. Aku nak jumpa Yap,” ujar Afia tanpa berselindung. Sudah lama dia menunggu saat itu.

“Yap? Siapa tu?” Julia tercengang.

“Yap Ah Loi,” celah Adi.

Julia menarik muka mendengar jawapan Adi.

“Yap tu pelukis komiklah,” ujar Afia.

“Pelukis komik?”

Ingatkan siapalah. Ngomel Julia sendiri.

“Yang kau minat sangat dengan Yap tu kenapa?” soal Adi. Seperti Afia, dia juga membaca komik tetapi tak adalah sampai minat pelukisnya.

“Eh, suka hati akulah!” ujar Afia membela diri. “Kita pergi ya? Ju?”

“Kau orang nak pergi tak?” Julia memandang Adi dan Rizal. Kasihan pula dia melihat wajah Afia yang penuh berharap itu.

“Malaslah aku,” balas Adi.

“Bosanlah pesta buku,” ujar Rizal pula.

“Tak nak pergi, sudah! Masa M.I.X. kat Muzik Muzik hari tu, beria-ria suruh aku ikut. Sekarang, bila aku ajak, sorang pun tak nak ikut. Lain kali kalau kau orang ajak pergi mana-mana, jangan harap aku nak ikut!” Afia bangkit dan berlalu dari situ.

Adi, Julia dan Rizal berpandangan sesama sendiri. Tidak disangka sebegitu sekali reaksi Afia.

Tiada ulasan: